Skip to main
Logo Malaysiakini

Bedah siasat sahkan Sinead mati atas sebab semulajadi

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Polis mengesahkan kematian penyanyi Irish, Sinead O’Connor, 26 Julai tahun lalu disebabkan “atas sebab-sebab semulajadi.”

Menurut Polis Metropolitan London kematian penyanyi itu tidak dianggap mencurigakan selepas dia didapati tidak sedarkan diri di sebuah rumah di Tenggara London. Sinead berusia 56 tahun.

Ini kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Koroner Southwark yang menjalankan bedah siasat dan memutuskan bahawa Sinead meninggal dunia atas sebab semula jadi.

AP melaporkan, penyanyi itu yang memulakan kerjayanya dengan membuat persembahan jalanan di Dublin, mencipta kemasyhuran di seluruh dunia apabila mempersembahkan lagu saduran berjudul Nothing Compares 2 U - oleh penyanyi asal, Prince - yang diterbitkan pada 1990.

Sinead juga tidak merahsiakan penyakit mentalnya sejak dia dimasukkan ke hospital. Ia susulan anak lelakinya, Shane yang meninggal dunia akibat bunuh diri pada 2022.

Penyanyi itu juga terkenal kerana pelbagai kenyataannya yang  dianggap berunsur politik termasuk pada 1992 apabila dia mengoyakkan gambar Pope John Paul II sewaktu bersiaran langsung di rancangan televisyen Saturday Night Live.

Ia satu protes dilakukan terhadap penderaan seksual membabitkan gereja Roman Katolik.

Beribu-ribu peminat membanjiri jalan-jalan di Bray, bandar Ireland yang menjadi kediaman Sinead sewaktu upacara pengebumian penyanyi itu pada Ogos tahun lalu. 

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Perdana Menteri Ireland Leo Varadkar dan penyanyi terkenal Bono, U2.