Skip to main
Logo Malaysiakini

Waris Fiza Kamarudin layak dapat pencen penakat Perkeso

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Waris kepada Siti Nor Hafiza Kamarudin, wartawan portal hiburan yang meninggal dunia akibat barah, di London, layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, semakan rekod caruman ibu kepada dua cahaya mata, masing-masing berusia 8 dan 10 tahun itu mendapati, Allahyarhamah pernah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza, sejak Disember 2002.

Mohammed Azman Aziz Mohammed

“Suami arwah, Roshdi Ramli, layak mendapat faedah Perkeso untuk sepanjang hayat manakala dua anaknya diberikan manfaat sama hingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

“Berdasarkan rekod caruman Perkeso milik Siti Nor Hafiza, mendapati keluarganya layak untuk menerima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975.00 setiap bulan dan FPM sebanyak RM2,000 secara sekali bayar, menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Perkeso menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarhamah dan semoga penyaluran faedah ini berupaya membantu kelangsungan hidup mereka,” jelasnya ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris wartawan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet turut hadir dalam Ziarah Prihatin itu.

Hafiza atau lebih mesra disapa Fiza menghembuskan nafas terakhir di Hospital Charing Cross, pada jam 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) akibat pendarahan otak pada 28 Disember lalu.

Dia menerima rawatan di hospital itu selepas dilapor tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pada 27 Disember lalu untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti bersama keluarganya.

Pada Julai 2018, Hafiza disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga dan keadaannya kembali pulih namun sel barah dilaporkan kembali merebak di dalam tubuhnya.

Sebelum ini, sumbangan tabung Bantulah Fiza yang dilancarkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (Wham) berjaya meraih sejumlah RM50,000 yang dikumpul dalam tempoh dua hari daripada kalangan artis, media dan orang ramai. Dana dikumpul bagi tujuan membolehkan pengurusan membawa pulang jenazah ke tanah air.