Skip to main
Logo Malaysiakini

Shuib salur duit menang saman fitnah pada tabung Palestin

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pelawak dan usahawan Shuib bersyukur apabila dia memenangi saman fitnah hari ini selepas bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkannya dengan pertubuhan Freemason tahun lalu.

Justeru, Shuib berkata dia berhasrat untuk memanfaatkan kesemua hasil saman itu dengan menyalurkannya kepada mangsa di Palestin.

“Alhamdulillah, hari ini 10 Januari 2024 selesai kes fitnah terhadap diri saya dan arwah Siti Sarah Raissuddin.

“Hasil duit saman akan disalurkan ke tabung Palestin di bawah Yayasan Nurjiwa,” katanya.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, dia lega dengan keputusan itu selepas lima bulan menempuhi proses mahkamah demi menegakkan kebenaran.

Namun, atas dasar keprihatinan, dia memilih untuk memaafkan dan melupakan kesalahan individu terbabit.

“Hampir lima bulan dan hari ini semuanya terjawab. Fitnah kamu John Dihani langsung tak berasas dan tak masuk akal.

“Atas dasar ihsan dan profesional, saya maafkan kamu dan halalkan segala fitnah terhadap saya.” katanya lagi.

Shuib berkata demikian di Kompleks Mahkamah Shah Alam, pagi tadi. Turut kelihatan adalah John Dihani dan peguam Shuib, Syed Afiq Syed Albakri.

Itu adalah kali pertama Shuib bertemu dengan John Dihani.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Shuib, 39, berang apabila dua individu mengaitkan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah dengan Freemason.

Mereka juga mendakwa Shuib sengaja membiarkan Siti Sarah ditidurkan sebelum meninggal dunia akibat Covid-19 pada 2021.

Untuk rekod, Shuib terlebih dulu menerima permohonan maaf dibuat Zulhairi Abu Othman dalam satu sidang media diadakan Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam kenyataan sama dibacakan hari ini, Shuib tidak mendedahkan secara terperinci jumlah saman yang dimenanginya.

Dia juga sempat menitipkan pesanan kepada John Dihani dan juga orang ramai agar lebih berwaspada menggunakan media sosial.

“Saya doakan semoga awak dipermudahkan segala urusan dan semoga kes ini jadi pengajaran kepada semua agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial.

“Jangan suka-suka menabur fitnah tanpa usul periksa, jangan jadikan fitnah satu perkara normal. Ini bukan budaya orang Malaysia,” katanya.

John Dihani turut membuat permohonan maaf secara terbuka melalui rakaman sama dikongsikan Shuib.

Lelaki itu mengakui kenyataan dibuatnya tanpa bukti dan asas yang kukuh.

“Saya buat hantaran di Instagram serta menyatakan beberapa kenyataan berunsur fitnah Ogos tahun lalu.

“Tindakan menyebar fitnah ini dilakukan tanpa memikirkan kesan. Saya sarankan kepada mana-mana pihak supaya tak sebar fitnah.

“Saya juga mohon maaf pada Shuib atas penyebaran dan penularan fitnah melalui hantaran tersebut,” katanya yang kemudian dilihat bersalaman dengan Shuib selepas kenyataan itu dibacakan.