Skip to main
Logo Malaysiakini

Izuan Razali tak kisah dibenci bawa watak jahat

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Gara-gara wajahnya nampak jahat dan ganas, pelakon Izuan Razali sering ditawarkan watak antagonis sepanjang terbabit dalam bidang lakonan.

Namun, menurut Izuan, dia tidak kisah dibenci penonton kerana watak jahat yang dilakonkannya itu.

“Saya percaya jika watak jahat dilakonkan membuatkan penonton benci pada saya, jadi watak yang dilakonkan itu menjadi,” kata pelakon filem Jiwa 8 Belas itu.

Mengenai lakonannya dalam filem Jiwa 8 Belas arahan S Baldev Singh yang diterbitkan White Merpati Entertainment itu, kata Izuan, dia diberi kepercayaan untuk melakonkan watak sebagai Mat Kitam.

Menurutnya, dia ditawarkan watak itu selepas melalui proses uji bakat yang dijalankan pada 2018.

“Watak Mat Kitam mencabar kerana saya mengambil tempoh lebih sebulan untuk menjiwai watak termasuk mencipta gelak tersendiri.

“Saya juga perlu memahami skrip kerana perlu faham dan kenali siapa Mat Kitam dan kenapa dia menjadi jahat,” katanya.

Selain Izuan, filem Jiwa 8 Belas turut dibintangi pelakon terkenal tanah air antaranya A Galak, Jalaluddin Hassan, Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Aman Graseka, Shah Hazvee,Ikhram Juhari, Kanda Khairul, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S.

Filem itu akan menemui penonton di pawagam tanah air bermula 18 Januari ini.

Berkongsi babak paling susah dilakonkan pula, kata Izuan, ia membabitkan babak Mat Kitam merogol Fatien (lakonan Sophia Albarakbah) dalam filem itu.

Katanya, ia sukar untuk diterjemahkan kerana dia belum pernah melakonkan babak berat seperti itu.

“Selain itu, babak mencabar lain pula apabila tubuh saya lebam-lebam kerana dipukul dengan kayu ketika menjayakan babak pergaduhan.

“Saya juga lakonkan sendiri babak aksi tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.

“Pelakon yang menjadi Idola dan memberi inspirasi pada saya dalam lakonan ialah Aaron Aziz dan Sharnaaz Ahmad,” katanya.