Skip to main
Logo Malaysiakini

Hajat Fadhilah Intan terdetik di depan KLCC dah makbul

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Penyanyi Indonesia yang popular dengan lagu Dawai, Fadhilah Intan, bersyukur apabila hajatnya sewaktu merakam gambar depan Menara Berkembar Petronas tiga tahun lalu akhirnya dimakbulkan Tuhan.

Kata Fadhilah, dia sudah lama memasang hajat untuk mengembangkan karier ke luar dari negara sendiri dan hasrat itu membuak-buak setiap kali datang bercuti ke Malaysia.

“Tujuh kali datang Malaysia, semuanya untuk bercuti bukan menyanyi.

"Tapi pada 2022, apabila sekali lagi datang bercuti dan berdiri depan KLCC (Menara Berkembar Petronas), saya panjatkan doa dalam hati, iaitu harapnya boleh jadi terkenal di negara ini.

“Saya bersyukur Allah makbulkan doa kerana Dawai saya kini dipanggil untuk menyanyi di Malaysia.

"Ini luar biasa kerana dulu saya hanya seorang pencipta kandungan (content creator),” katanya.

Bukan setakat itu, kata Fadhilah, 25, dia lebih teruja apabila ‘bahang’ namanya yang semakin meningkat membuatkan dia lebih masyhur di Malaysia walaupun terlebih dulu memulakan kerjaya menyanyi di Indonesia.

Dua dua tiga kali, kini 10

Jelas wanita asal Surabaya itu, semuanya gara-gara Dawai yang menjadi runut bunyi filem Air Mata Di Ujung Sajadah menjadi sohor di pelbagai platform media sosial.

“Perubahan ketara itu bermula di Malaysia. Di Indonesia, sebelum Dawai popular, ramai orang minta bergambar dengan pelakon filem Air Mata Di Ujung Sajadah, bukan saya.

“Hal ini buatkan saya gembira walaupun ada dalam kalangan peminat yang memanggil untuk bergambar kadang-kadang lupa nama dan panggil Dawai,” ujarnya berseloroh.

Fadhilah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Wali Cari Jodoh & Dawai In Penang di Gula Cakery, KL East Mall, Kuala Lumpur kelmarin.

Konsert dianjurkan Orange International itu bakal menemui penonton pada 3 Feb ini depan di Spice Arena, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Wali Band tidak dapat hadir pada sidang media berkenaan atas urusan tertentu di Indonesia.

Selain Fadhilah, konsert berkenaan turut menampilkan artis dari Malaysia, Saixse dan Khai Bahar.

Wali Band yang dianggotai Faank sebagai vokalis, Apoi (gitaris), Tomi (dram) dan Ovie (pemain keyboard) merupakan antara kumpulan pop terkenal di Indonesia dengan hit seperti Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Doaku Untukmu Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu.

Mengulas lanjut, Fadhilah berkata, Dawai juga membuka luas pintu rezeki buatnya sebagai penyanyi di Indonesia apabila dia mula menerima pelbagai jemputan untuk membuat persembahan di negara asal.

Menurutnya, tawaran yang diterima jauh berbeza berbanding dulu apabila dia mendapat sekurang-kurangnya sepuluh undangan dalam sebulan.

“Sebelum ini undangan nyanyian yang saya terima hanya dua atau tiga kali saja dalam tempoh tiga bulan.

“Tapi sekarang dapat banyak jemputan untuk buat persembahan termasuk program televisyen dan radio,” katanya yang bakal melancarkan dua single tidak lama lagi.