Skip to main
Logo Malaysiakini

Naqiu terkilan lebih 10 kali diberi harapan palsu untuk Boboy

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Penyanyi dan vokalis Boboy, Naqiu, terkilan apabila hasratnya untuk mengadakan konsert bagi meraikan band popular era 2001 itu tidak kesampaian gara-gara diberikan harapan palsu.

Hal itu kerana, dakwa Naqiu, penganjur terbabit seolah-olah mempermainkannya kerana pertemuan bagi membincangkan konsert tersebut berakhir dengan sesi borak-borak kosong.

Katanya dia sendiri tidak pasti niat sebenar penganjur terbabit namun sikap individu itu yang sering ‘memancing’ untuk bertemu menggunakan nama Boboy mengakibatkan dia berasa “sakit hati” untuk berurusan lagi.

“Kerenah penganjur ini sudah berlanjutan lebih 10 kali dalam tempoh dua tahun.

"Perjumpaan itu akhirnya jadi borak kosong kerana perbincangan kami tak menjurus ke arah konsert pun.

“Disebabkan penganjur itu petik nama Boboy, dia dengan mudah dapat melepasi dua perisai saya (pengurus). Kalau sebut nama Naqiu, biasanya saya serahkan pada pengurus terus," katanya tanpa mendedahkan siapa individu dimaksudkan.

Tambah juara Gegar Vaganza musim keenam itu dia menyesyaki motif orang tersebut menggunakan nama Boboy untuk bertemu hanya untuk cuba merapati dirinya.

"Terus-terang saya katakan, memang saya sakit hati dengan penganjur itu," katanya.

Jangan main-main

Pada masa sama pemilik nama penuh Wan Naqiuddin Mohd Najib itu menafikan dia meletakkan syarat yang melampau hingga mengakibatkan pengajur terbabit bermain tarik-tali dengannya.

Katanya, dia tidak mengharapkan 'bulan dan bintang' untuk menjayakan konsert berkenaan, malah mencukupi sekiranya penganjur berkenaan komited menyediakan kelengkapan sewajarnya.

“Banyak benda saya minta dia tak boleh tunaikan, dan kemudian dia senyap-senyap tukar tarikh tanpa pengetahuan saya. Dah tiga kali tukar tarikh.

“Syarat saya beri tak berat pun, cuma minta jaga nilai abang-abang (anggota Boboy) saya. Saya juga tak minta hotel lima bintang atau mahu naik Vellfire ke mana-mana.

“Saya cuma minta harga dan kelengkapan sepatutnya saja. Kumpulan Boboy pun diminati sejak 2001 jadi takkan saya nak letak harga sewaktu 2001 pula,” katanya.

Naqiu berkata demikian pada majlis pengumuman konsert After Hours With Hetty Koes Endang (AHHKE) di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Naqiu yang dijemput sebagai penyanyi undangan bakal memeriahkan acara berkenaan pada 24 Feb ini di Grand Shah Alam, SACC.

Konsert anjuran Visual Print Sdn Bhd itu adalah acara julung kali yang bakal menghimpunkan 1,000 penonton berkonsepkan majlis makan malam secara intimasi bersama penyanyi yang mesra disapa Bunda itu.

Lebih istimewa, Hetty dan Naqiu juga akan berduet untuk beberapa lagu yang menjadi kejutan kepada hadirin kelak.

Selain Naqiu, hadirin akan turut dihiburkan dengan persembahan anak Hetty, Afiffah Yusuf dan Zul 2 By 2.

Mengulas lanjut, Naqiu, 37, berkata, tujuan dia berkongsi perasaan sakit hatinya itu bukan kerana ingin memalukan sesiapa sebaliknya mahu menjelaskan mengapa sehingga kini Boboy tidak pernah mengadakan sebarang konsert.

Tambah penyanyi Pasrah Walaupun Parah itu, dia juga semakin berhati-hati selepas ini memandangkan Boboy membawa nilai yang tinggi dalam hidupnya.

“Mengenai Boboy, jangan main-main sebab saya ambil berat. Jadi kenapa hingga kini masih tak ada konsert Boboy, ia kerana saya berjaga-jaga.

“Saya memang nak adakan konsert Boboy sebab apabila buat persembahan solo pasti ada peminat minta nyanyikan lagu Boboy.

“Jadi tak adil jika nak bawa nama saya seorang sebab Boboy satu perkara besar buat saya,” katanya.