Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda Umno berang filem 1MDB kaitkan Najib dengan pembunuhan

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Pemuda Umno membidas sebuah dokumentari di Netflix berhubung penggambarannya ke atas bekas perdana menteri Najib Razak, termasuk mengaitkannya dengan pembunuhan timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais dan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Sehubungan itu, ketua pergerakan itu, Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan mengarahkan Netflix untuk mengeluarkan dokumentari berkaitan skandal 1MDB yang bertajuk Man on the Run.

Melabelkannya sebagai “perbicaraan oleh media” Muhamad Akmal berkata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mesti segera mengarahkan Netflix berbuat demikian.

“Penyiaran kandungan ini adalah merupakan suatu bentuk perbicaraan media tatkala Najib Razak masih berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah, dan mempunyai niat jahat untuk membentuk persepsi yang negatif ke atas beliau.

“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak di dalam dokumentari ini juga merupakan suatu penghinaan kepada prosiding mahkamah yang sedang berjalan, dan ini merupakan suatu isu yang perlu dipandang secara serius oleh semua pihak,” katanya.

Semalam, pasukan peguam Najib Razak menghantar surat kepada Fahmi memohon tindakan itu.

Mereka memberi alasan terdapat komen menghina mahkamah kerana perbicaraan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion terhadap bekas perdana menteri itu sedang berjalan.

Peguamnya juga berkata dokumentari memuatkan pandangan fitnah, subjudis, prejudis, berat sebelah.

Ia juga “belum dan/atau tidak pernah dibuktikan melalui sama ada keterangan dokumentari mahupun keterangan lisan saksi-saksi yang telah dikemukakan dalam mana-mana perbicaraan".

Pada 8 Jan, pada permulaan perbicaraan Mahkamah Tinggi 1MDB, peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah mengenai hasrat Najib agar kerajaan memaksa Netflix mengeluarkan dokumentari itu.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Pemuda Umno mengutuk sekeras-kerasnya penyiaran dokumentari itu.

Selain senada dengan peguam Najib, pergerakan itu juga menyifatkan kandungannya melampau.

“Malah, ada kandungan yang bersifat melampau seperti mengaitkan Dato Sri Najib terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya (Shaariibuu) dan Kelvin Morais,” kata Akmal.