Skip to main
Logo Malaysiakini

Hati Noh hancur ketika serahkan Musa

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Walaupun akur dengan perintah mahkamah, penyanyi Noh Salleh mengakui keadaan yang memaksa dia menyerahkan anak angkatnya, Musa, kepada bekas isteri, Mizz Nina.

Kata Noh, dia juga akan mendapatkan nasihat daripada peguamnya berhubung kes itu.

“Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkamah, saya dengan berat hati menyerahkan Musa kembali (kepada Mizz Nina).

“Hanya Tuhan saja yang mengetahui betapa hancurnya hati saya semalam,” tulisnya di Instagram malam tadi.

Menurut Noh atau nama penuhnya Mohamad Noh Salleh, dia berbuat demikian selepas Mizz Nina hadir bersama suaminya dengan membawa perintah interim, selain ditemani pihak berkuasa.

“Buat pengetahuan umum wawancara bersama Melodi dijalankan pada 13 Jan.

“Namun malam semalam (Sabtu) pihak Mizz Nina hadir di rumah dengan suami serta beberapa pihak yang lain untuk mengambil Musa dengan perintah interim (perintah jagaan sementara) dari mahkamah syariah sebelum sesi mediasi bermula,” katanya.

Pilih jalan damai

Dalam wawancara bersama program hiburan itu, Noh menjelaskan dakwaan dia melarikan Musa daripada jagaan bekas isterinya hasil bantuan pembantu rumah.

Bagaimanapun, Noh, 39, mendakwa dia mengambil Musa melalui saluran undang-undang yang sah.

Pada 2 Jan lalu, media melaporkan seorang pembantu rumah warga asing didakwa melarikan anak seorang selebriti wanita dan kejadian itu didalangi bekas suaminya yang juga penyanyi.

Untuk rekod, Noh dan Mizz Nina mendirikan rumah tangga pada Julai 2011 namun mereka bercerai pada Ogos 2022.

Mizz Nina kembali bergelar isteri selepas dinikahi penyanyi rap dan penulis lirik dari Seattle, AS, Essam Muhammad pada suku kedua tahun lalu.

Pada Sept lalu pula, Noh selamat bergelar suami kepada peguam, Fatin Athira Mustapa.

Melalui hantaran sama, Noh juga memaklumkan tiada sebarang insiden berlaku sewaktu dia menyerahkan Musa kepada Mizz Nina atau Shazrina Azman.

Katanya, dia masih percaya kepada jalan perdamaian untuk menyelesaikan itu itu, selain memikirkan kepentingan Musa.

“Apa yang penting adalah kesihatan mental dan fizikal Musa.

“Saya berharap kenyataan ini jelas dan tiada sebarang spekulasi daripada mana-mana pihak dan saya juga berterima kasih atas segala doa daripada kalian,” katanya.