Skip to main
Logo Malaysiakini

Hamil lagi jadi rezeki paling besar buat Uqasha

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pelakon Uqasha Senrose menyatakan rasa syukur tidak terhingga apabila dia ditakdirkan hamil sekali lagi selepas dua kali mengalami keguguran.

Menganggap kehamilan itu sebagai antara rezeki paling besar buat dia dan suaminya, Kamal Adli, Uqasha berkata apa yang sangat diharapkan ketika ini ialah doa orang ramai agar semuanya berjalan lancar.

“Doakan yang baik-baik untuk saya dan kandungan ini. Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan. Jodoh, ajal, maut, rezeki, semua daripada Dia.

“Apa pun saya syukur. Alhamdulillah, rezeki manusia itu berbeza-beza dan ini antara rezeki yang paling besar untuk saya," katanya.

Tambah pelakon filem Sumpahan Jerunei itu lagi, keutamaan bagi dia ketika ini ialah kesihatan yang baik untuk dia dan kandungannya.

“Apabila bakal jadi ibu ini, baru tahu dan rasa yang comel ke, cantik ke... semua itu tak penting.

"Tapi apa yang paling penting adalah kesihatan dan sempurna. Itu saja doa saya,” katanya melalui satu hantaran di Instagram semalam.

Untuk rekod, Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga di Janda Baik, Pahang, pada 5 Nov 2021.

Sebelum ini Uqasha mendedahkan dia mengalami keguguran sebanyak dua kali.

Pada hantaran sama, Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen turut berkongsi sekeping gambar paparan alat ujian kehamilan yang menunjukkan dia mengandung.

Pun begitu, Uqasha, 31, berkata, memang terbit rasa gementar untuk mengumumkan berita kehamilan berkenaan pada awal selepas apa yang berlaku terhadap dirinya sebelum ini.

Katanya, perasaan gementar itu sama seperti situasi sebelum dia dinikahkan dengan Kamal.

“Ramai tanya-tanya kenapa saya tak jawab-jawab sebab dah gugur. Jujurnya saya jadi takut, dan biarlah saya sendiri yang cakap.

“Gementar sejak nak jadi isteri dan sekarang gementar untuk jadi ibu pula,” katanya.