Skip to main
Logo Malaysiakini

Bunda dah sedia cuma jadi pemerhati saja

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Seiring dengan pergerakan usianya yang hampir mencecah 70 tahun, Hetty Koes Endang berkata ketika ini dia lebih senang memberi laluan kepada generasi muda untuk mencipta nama.

Justeru, menurut penyanyi legenda dari Indonesia itu, sudah tiba masa dia mengundur diri dari dunia seni tarik suara bersifat komersial kerana menganggap tiada apa-apa lagi yang ingin dikejarnya dalam bidang itu.

“Ini adalah konsert terakhir bunda. Bunda sudah 53 tahun berada dalam industri, sudah capek (kepenatan)," katanya yang senang membahasakan dirinya sebagai Bunda.

Menurut Hetty lagi dia mahu memberi peluang kepada penyanyi yang lebih muda, termasuk dari Malaysia yang dianggap berbakat besar dan hebat,

“Selepas ini saya hanya mahu memerhati saja,” katanya ketika sesi temu bual secara atas talian dengan media Malaysia sempena konsert After Hours With Hetth Koes Endang baru-baru ini.

Melalui konsert itu Hetty bakal menghiburkan peminat tempatan di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor pada 24 Feb ini.

Selain Hetty, konsert berkenaan akan turut dimeriahkan dengan penampilan Naqiu serta anak perempuan Hetty.

Kata penyanyi Berdiri Bulu Romaku itu, dia tidak lagi mengejar acara-acara komersial seperti yang pernah dilakukannya suatu ketika dulu.

Hal itu kerana, katanya, dia lebih “bahagia” membabitkan diri dalam acara berbentuk amal.

“Dah lama saya tak cari persembahan komersial. Sekarang saya lebih tumpukan pada konsert amal. Ini lebih bahagia.

“Misalnya acara amal untuk membolehkan sebahagian hasil kutipan diserahkan ke Gaza. Ini tanggungjawab kepada saudara kita yang memerlukan,” katanya yang juga popular melalui lagu Hati Lebur Jadi Debu itu.