Skip to main
Logo Malaysiakini

Noraniza bangkit azam baru lepas pernah rasa tak nak hidup

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Sempena tahun baru, penyanyi Noraniza Idris memasang azam melangkah kembali dalam industri dengan penuh semangat meskipun sebelum ini berdepan detik hitam kerana ditipu penganjur hingga berfikir di luar kewarasan.

Mengakui perasaan berkenaan hanya fikiran negatif yang tidak terbendung ketika itu, penghibur diberi julukan Ratu Irama Tradisional terbabit mengakui dia sudah hampir pulih daripada fasa kemurungan.

“Sebut saja perkataan konsert saya jadi benci pada waktu itu.

“Tapi semangat saya sekarang sudah hampir OK, mungkin tinggal masih 10 peratus saja (yang belum sembuh sepenuhnya),” katanya yang masih takut-takut berdepan dengan orang ramai.

Untuk menjaga kesihatan mentalnya, Noraniza, 55, berkata dia menyalurkan setiap perasaan negatif yang terbuku itu kepada sesuatu yang positif.

Bagi penyanyi Hati Tak Tahan itu, setiap kata-kata cemuhan dilemparkan kepadanya tidak boleh dipandang terlalu serius sehingga akhirnya memakan diri.

“Kalau fikir secara serius memang terkilan, tapi saya akan cuba ubah perasaan negatif itu kepada yang lain.

“Sekarang dah tak boleh fikir begitu sebab takut nanti boleh alami kemurungan macam dulu... sampai satu tahap hilang iman sampai tak nak hidup.

“Memang itulah dugaan sebenar yang saya lalui," katanya.

Noraniza bersama Ifa Raziah

Tambah Noraniza, ketika ini dia mengambil sikap lebih sederhana dan percaya kepada ketentuan takdir.

"Sekarang kalau ada rezeki, adalah,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Malam Amal Legenda yang berlangsung di Draften Art Centre, Kepong, Selangor semalam.

Sebelum ini, kontroversi isu skim perumahan membabitkan sebuah syarikat pemaju membawa impak buruk pada penganjuran Konsert Malai Solo yang dijadual dipersembahkan Noraniza.

Ada keyakinan menyanyi semula

Konsert berkenaan sepatutnya berlangsung 21 hingga 23 Oktober 2022 di Istana Budaya, Kuala Lumpur dengan syarikat terbabit menyatakan kesediaan untuk menaja konsert berkenaan sebanyak RM3 juta.

Kontroversi itu secara tidak langsung menjejaskan penjualan tiket konsert kerana timbul dakwaan Noraniza bersekongkol dengan skim rumah yang meragukan sekali gus mengakibatkan promosi hebahan mengenainya terpaksa dihentikan.

Meskipun masih wujud pandangan negatif terhadap dirinya disebabkan kontroversi berkenaan, Noraniza sedia maklum ada peminat yang tetap mendambakan persembahannya.

Justeru, penyanyi Hati Kama itu bakal kembali menghiburkan peminat tetapi melalui konsep sedikit berbeza daripada apa pernah dilakukannya sebelum ini.

Katanya, melalui Irama Malaysia 3 Dekad (IM3D), satu kolaborasi dijalinkan bersama beberapa badan kerajaan termasuk Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka untuk persembahan konsert berkonsepkan pertandingan.

“Insya-Allah saya akan adakan konsert tapi pada masa sama ia juga berkonsep pertandingan.

“Dengan konsep begini dan diiringi orang lain - misalnya penari-penari di atas pentas - baru saya ada keyakinan untuk menyanyi semula,” jelasnya.