Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga dekad lagu Saari Amri bawa rezeki buat UK's, Slam

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

“Sepanjang tiga dekad lagu Saari Amri membawa rezeki pada kami,” luah dua vokalis band terkenal, Amir UK’s dan Zamani Slam berhubung pengisian konsert UK’Slam Musical yang akan berlangsung bulan depan.

Amir berkata, pada malam konsert itu nanti mereka akan membawakan lagu-lagu hit yang mendapat sentuhan Saari sebagai mengenang jasa serta penghormatan buat tokoh yang dianggap pelopor muzik 1990-an itu.

“Syukur alhamdulillah saya dipanjangkan umur dan masih berada dalam industri. Tiga puluh tahun adalah satu tempoh yang agak lama.

“Maka pada malam itu nanti kita akan meraikan lagu-lagu dari era 1990-an, dan boleh saya katakan 90 peratus daripada lagu yang akan kami bawakan adalah lagu Saari.

“Ini kerana banyak lagu popular UK's dan Slam adalah ciptaan Saari walaupun tidak dinafikan ada juga lagu hit dicipta daripada komposer lain,” katanya.

Menurut Amir, 54, Saari memberi respons yang positif sebaik mengetahui perancangan dia dan Zamani berhubung penganjuran UK’Slam Musical itu.

Katanya, Saari malah sempat bergurau melalui salah satu lagu ciptaannya dan kemudian berkongsi rakaman itu di TikTok.

“Dia gembira dan siap menyanyi lagu Slam dan kemudian lagu UK’s.

"Ada beberapa baris dari lirik lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu diubah jadi kelakar. Itu tak mengapa kerana lagu itu memang ciptaan dia,” ujar Amir.

Bukan nak lawan hebat

Tambahnya, dia dan Zamani berbesar hati apabila komposer yang juga penulis lirik itu bakal hadir memeriahkan suasana UK’Slam Musical nanti.

Amir berkata demikian pada sidang media pratonton Konsert UK’Slam Musical di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Konsert yang akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor itu dijadual berlangsung pada 3 Feb ini. Buat kali pertama kedua-dua otai terbabit akan beraksi di atas satu pentas menghiburkan peminat.

Untuk rekod, selain Amir, UK’s turut dianggotai Rozdenil Toni sebagai pemain gitar, Mohamad Saleh Mohd Alias (bass), Amiruddin Shariff (dram), selain menampilkan Mustafa Kamal Ahmad atau Mus Satira (gitar). Mus sebelum ini merupakan pemaian sessionis asal dalam rakaman album UK’s.

Kumpulan Slam pula akan diterajui Shah Nizam Abdul Halim atau Shah (gitar) Eddie Ahmad (keyboard), Nor Azli Masrani (bass) dan Othman Khalid (dram).

Sebanyak 30 lagu bakal didendangkan pada konsert berdurasi hampir tiga jam itu, seperti Pahit Akan Jadi Manis Akhirnya, Kembali Terjalin, Tergamak Kau, Gerimis Mengundang, Rindiani dan Maria Mariana.

Bagaimanapun kata Amir, dia memohon agar tiada perbandingan dibuat pada vokal yang disampaikan mereka berdua.

“Jangan bandingkan suara Zamani dengan saya. Gabungan kami pada konsert itu nanti bukan bertujuan nak tunjuk siapa lagi terer (hebat).

“Kami cuma mahu kembalikan nostalgia 30 tahun lalu. Pastinya yang datang kalau dulu mereka bujang, sekarang mungkin sudah ada cucu,” katanya berseloroh.

Berkongsi penglibatan Mus Satira, Amir berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meraih banyak reaksi positif daripada peminat mengenai pembabitan pemuzik itu pada acara sebelum ini.

“Mus Satira adalah pilihan tepat, bukan saja kerana dia pernah bermain untuk album UK’s, tapi kami dapati dia sentiasa memberikan persembahan yang baik sewaktu di Singapura, manakala di Pesta Pulau Pinang, lagi mencanak penonton yang datang," katanya.