Skip to main
Logo Malaysiakini

DJ Lin: Ini kecaman terhebat, semoga ada kemanisan buat saya

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin tidak menjangka kontroversi terburuk yang menjadi pembuka tahun baru kali ini menenggelamkan rekod cemerlang yang dibinanya sejak 25 tahun lalu.

Cuma DJ Lin berkata sebelum sebarang tohmahan dilemparkan terhadapnya, umum wajar terlebih dulu mendengar daripada kedua-dua belah pihak.

“Ini kecaman terhebat yang pernah saya hadap selama ini. Saya tak sangka 2024 dibuka dengan kontroversi ini.

“Mereka lihat hanya satu kisah video terpampang, tapi di sebaliknya tiada yang tahu.

“Saya jadi popular satu Malaysia. (Sedangkan) Selama 25 tahun dalam industri radio, saya kekalkan rekod cemerlang bersama 13 anugerah besar,” katanya.

Terdahulu, namanya dikaitkan dengan isu penamatan kontrak Tyzo di stesen radio Suria FM pada 12 Jan lalu.

Hari ini, Pengerusi Star Media Radio Group Bhd (SMRG) Mohd Aminuddin Mohd Rouse menyifatkan tindakan Tyzo menularkan rakaman suasana hari terakhir dia di konti seolah-olah ingin menjatuhkan reputasi DJ Lin.

Mohd Aminuddin juga berkata keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Tyzo dibuat oleh pihaknya secara meluruh dan DJ Lin bukanlah individu yang bertanggungjawab terhadap perkara itu.

Tyzo

Mengulas lanjut, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid berkata, dia tidak dapat menghalang netizen sekiranya mahu berterusan mengecam dirinya.

Malah katanya lagi, dia juga tidak boleh menyalahkan netizen kerana tidak mengetahui isu sebenar.

Namun, DJ Lin memohon agar orang ramai tidak melibatkan anak-anaknya dalam isu terbabit.

“Saya dikecam sejak video viral Jumaat lalu, sudah tujuh hari saya dilemparkan cacian serta tohmahan.

“Saya juga tak boleh salahkan netizen. Nak kecam DJ Lin tak apa, tapi jangan sentuh anak saya kerana mereka tak bersalah.

“Anda menghukum tanpa asas kukuh dan anak-anak saya ada emosi serta perasaan,” katanya lagi.

Menurut DJ Lin, sejak menceburi industri radio pada 1999, dia berusaha keras membina jenama dirinya dari bawah.

Katanya lagi, tanggungjawab yang digalasnya menjadi lebih besar sejak memegang jawatan pengurus besar pada 2021.

“Saya pernah dikecam bekas penyampai radio di bawah Suria FM, jadi saya sudah lali dengan kecaman.

“Arwah ibu saya juga tak nafikan memang radio adalah nombor satu buat saya dan keluarga pula jatuh nombor dua,” katanya.

DJ Lin tidak menafikan kontroversi melanda memberi kesan kepada kesihatan mentalnya.

Namun dia beranggapan, apa yang berlaku adalah satu proses memantapkan mental selain ujian buatnya.

“Saya reda ini ujian, saya pun baru berhijrah (bertudung) lepas balik dari umrah.

“Saya harus belajar lebih reda dan berharap terus kuat untuk anak buah saya seramai 50 orang di Suria FM.

“Apa saja dugaan saya tempuhi walaupun kesalahan itu bukan saya lakukan, harap ada kemanisan buat saya,” katanya.