Skip to main
Logo Malaysiakini

Tyzo pertikai sebab minta RM500 kontrak ditamatkan?

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Bekas penyampai radio Suria FM, Tyzo Xander menafikan dakwaan Pengerusi Star Media Radio Group (SMRG) Berhad, Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse bahawa dia tidak berminat untuk menyambung kontrak di stesen itu.

Jelas Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris, ketika sesi perbincangan kontrak pada bulan Ogos lalu, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat selepas meminta sedikit kenaikan gaji.

Katanya, dia dan Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin sepakat untuk menyambung kontrak selama enam bulan bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan membuat penilaian mengenai perkara itu.

“Saya cakap terus-terang saya perlukan kenaikan gaji dan minta kenaikan sebanyak RM500 saja.

“Tapi inilah balasan saya terima. Sewaktu minta naik gaji, DJ Lin kata kita sambung dulu kontrak ini, nanti dua bulan sebelum habis kontrak bulan Mac, kita akan bincang semula.

“Jadi saya pun sain kontrak pada bulan September lalu,” katanya.

Menurut Tyzo, sekiranya dia berlagak besar kepala sudah tentu kontrak berkenaan tidak akan ditandatanganinya.

“Kemudian pada 4 Januari lalu, saya dapat tahu kontrak saya tak disambung. 

“Adakah kerana minta kenaikan, maka kontrak saya tak disambung?” katanya.

Tyzo memberi penjelasan itu dalam satu sesi perjumpaan bersama media di sebuah pusat beli-belah di Damansara hari ini.

Sebelum itu, Mohd Aminuddin mengulas kenyataan berhubung isu terbabit pada sidang media Ruang Udara Suria di Menara Suria, juga bertempat di Damansara.

Menurut Tyzo, 48, kenyataan pihak pengurusan agak mengejutkan kerana rakan gandingannya, Sharifah Shahirah pernah dua kali disambung kontrak selama enam bulan.

Justeru, dia beranggapan Mohd Aminuddin mendapat maklumat kurang tepat mengenai keputusannya.

“Sebelum ini kak Rara pernah minta kontrak disambung untuk enam bulan, tapi apabila giliran saya, mereka boleh anggap saya tak berminat bersama Suria.

“Sepatutnya akan ada perbincangan lagi dua bulan sebelum kontrak berakhir pada 9 Mac depan,” katanya.

Pada masa sama, Tyzo menyatakan kesediaannya untuk terus bersama Suria FM sekiranya ada ruang untuk dia diterima semula bekerja di stesen terbabit.

Namun, dia beranggapan, impian itu mungkin sekadar angan-angan selepas apa yang berlaku.

“Kak Rara adalah gandingan yang paling saya sayang. Saya juga masih sayangkan Suria FM. Tapi apa yang terjadi sekarang buatkan saya sangat 

“Stesen ini periuk nasi saya dan saya juga ada seorang anak untuk dibesarkan.

“Saya tak reda dengan apa terjadi kerana saya sebenarnya masih mahu terus bekerja di situ,” katanya.