Skip to main
Logo Malaysiakini

Muflis, jadi asnaf ajar Man Kidal hargai hubungan sesama insan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pengalaman hidup susah hingga jatuh muflis selepas dijangkiti Covid-19 tiga tahun lalu mengajar gitaris tersohor, Man Kidal, untuk lebih menghargai hubungan sesama manusia.

Katanya, banyak perkara yang dipelajari ketika itu membuatkan dia sentiasa beringat-ingat serta bertekad mahu mengubah kehidupannya menjadi lebih baik.

"Allah beri satu kata kunci kepada saya iaitu kita kena jaga hubungan sesama manusia, tak kiralah orang itu kawan mahupun keluarga.

“Ketika susah itu yang datang hulurkan bantuan juga adalah rakan-rakan, dan peminat. Kasih sayang dalam hubungan itu saya ingat sampai sekarang.

“Kehadiran mereka waktu itulah yang beri semangat untuk saya bangkit jadi rajin dan teruskan berusaha,” katanya.

Justeru, menurut Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood itu, atas tanda prihatin akan nasib sesama manusia, dia tampil membantu rakan artis dalam kesusahan melalui Konsert Malam Amal Lagenda.

Bagi Man Kidal, 60, usaha dilakukan itu membawa ketenangan dan lebih menggembirakan.

“Dulu mewah tapi asyik terkekang dengan komitmen kerja. Sekarang saya dapat ketenangan jiwa malah lebih gembira apabila berpeluang membantu rakan-rakan yang hidup susah,” katanya.

Fokus yang dekat dulu

Man Kidal berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Malam Amal Lagenda (A.M.A.L) di Draften Art Centre, Kepong, Selangor baru-baru ini.

Konsert anjuran AS Travel & Tours Sdn Bhd dan Koperasi Usahawan Intelektual Siswazah Malaysia Bhd itu akan diadakan pada 3 Mac ini di Hotel Whyndam, Klang, Selangor.

Turut membuat persembahan ialah Hattan, Noraniza Idris, Baby Shima, Ifa Raziah dan Bob Sentuhan.

Hasil inisiatif daripada program itu akan disalurkan kepada lima artis iaitu Shima, Zaiton Sameon, Lord (Ella & The Boys), To’ki dan Uji Rashid.

Sebelum ini, Man Kidal mengakui reda diisytihar asnaf sementara selepas hilang mata pencarian akibat pandemik Covid-19.

Dia kemudian diuji lagi apabila diisytiharkan muflis oleh mahkamah gara-gara gagal melunaskan pembiayaan sebuah kereta jenama mewah yang dibelinya kira-kira enam tahun lalu.

Man Kidal sebelum itu dilaporkan menanggung kerugian RM400,000 berikutan penangguhan penganjuran konsert mega, Ultimate Experience Projek Gerakkan Ilmu Laksana Agendamu (G.I.L.A).

Man Kidal berkata, selepas di Kuala Lumpur pihaknya merancang untuk meneruskan usaha yang sama dengan membawa konsert tersebut ke Sabah dan Sarawak pula.

Menurutnya, penganjur akan berkolaborasi dengan persatuan-persatuan dalam industri seni bagi menyenaraikan nama-nama rakan artis yang memerlukan bantuan.

“Kami akan merujuk dengan persatuan seperti Karyawan untuk dapatkan maklumat mengenai mereka.

“Buat masa sekarang kami fokus pada mereka yang terdekat dulu seperti Shima, Zaiton Sameon, To’ki, Uji Rashid dan Lord.

“Ada antara artis ini begitu dekat dengan saya seperti Shima kerana saya pernah hasilkan album untuknya, manakala Lord, kami dah kenal lama,” katanya.