Skip to main
Logo Malaysiakini

Noraniza nafi jual mahal untuk jayakan konsert amal

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Penyanyi Noraniza Idris menepis dakwaan dia sering ‘jual mahal’ setiap kali menerima tawaran untuk menjayakan sesebuah konsert bersifat amal.

Penghibur diberi julukan Ratu Etnik Kreatif itu sebaliknya berkata, dakwaan tersebut muncul mungkin disebabkan ada penganjur yang sukar untuk menghubunginya secara langsung.

Hakikatnya, kata Noraniza, memang tidak ada masalah untuknya membabitkan diri dalam mana-mana konsert amal dengan syarat pada waktu tersebut dia ada kelapangan.

“Tapi mungkin mereka yang cuba hubungi ingat saya masih di bawah mana-mana pihak pengurusan dan tiada nombor mereka yang berkenaan.

"Kalau melalui orang tengah takut main harga pula.

“Jadi, apabila mereka tak dapat hubungi saya, itu yang orang fikir Kak Ani ini susah nak diajak sertai show amal,” katanya.

Tambah Noraniza, sebagai anak seni sudah menjadi tanggungjawabnya untuk saling membantu mereka yang berada dalam industri.

Selesa gerak sendiri

Justeru, menurut Noraniza, biarpun menjayakan hanya konsert amal, dia tidak kisah untuk berhabis wang demi memberi kepuasan kepada penonton.

“Kalau kena gaya, saya ini jenis orang bagi RM10 kita belanja RM20 sebab kita nak bantu seberapa ramai artis yang susah.

“Ada antara mereka yang susah itu mungkin pernah jadi komposer kita, jadi kita faham situasi mereka,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Malam Amal Lagenda (A.M.A.L) di Draften Art Centre, Kepong, Selangor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, penyanyi itu berkata, keraguannya untuk terus bernaung di bawah sesebuah pihak pengurusan menyebabkan dia lebih selesa bergerak sendirian.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengelak dia berasa terkekang dengan sesuatu yang ingin diusahakannya.

“Ada sesetengah perkara kadangkala tak dipersetujui oleh pengurusan tapi saya pula suka nak melakukannya,” kata Noraniza.

Mengulas mengenai persembahannya di A.M.A.L pada 3 Mac ini, penyanyi itu berkata, dia akan membuat persembahan untuk tempoh sekurang-kurang 20 minit, dan diiringi oleh 16 penari.

Menurutnya, penonton bakal menyaksikan persembahan lagu-lagunya yang popular sepanjang tiga dekad dia dalam industri.

“Lagu-lagu yang dipilih adalah yang popular sejak 1996. Lagu-lagu itu yang senang nak dinyanyikan bersama seperti Dikir Puteri dan Hati Kama,” katanya.