Skip to main
Logo Malaysiakini

Shukri Yahaya mohon maaf buat aksi separa lucah

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

“Saya teruja lakonkan babak itu tanpa fikir sensitiviti masyarakat,” demikian luah pelakon Shukri Yahaya susulan terbabit adegan didakwa berunsur separa lucah dalam drama Layang-Layang Perkahwinan.

Justeru, Shukri memohon maaf atas kekhilafannya dan mengakui kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi pada masa depan.

“Saya minta maaf atas apa yang terjadi. Saya akui ini berpunca daripada kesilapan diri sendiri. Ia berlaku pada hari pertama penggambaran.

“Jadi itu yang buatkan saya terlampau bersungguh-sungguh jayakan watak.

“Malah saya fikir tak apalah kalau lakonkan aksi itu sikit saja, tapi apabila disunting, ia jadi sensitif pula,” katanya dalam nada kesal.

Ditanya sama ada dia sedia maklum mengenai adegan berunsur separuh lucah yang perlu dilakonkan, Shukri mendakwa tidak tahu menahu mengenainya.

Menguatkan kenyataannya itu, Shukri berkata, dia seorang pelakon yang tidak suka menghafal skrip sebaliknya selesa membuat interpretasi mengenai wataknya sewaktu di set penggambaran.

“Terus-terang saya katakan, saya tak suka baca skrip. Saya jenis yang suka beri kejutan pada diri sendiri mengenai apa yang saya boleh sampaikan pada pengarah dan penonton,” katanya.

‘Budaya pornografi ringan’

Shukri berkata demikian pada majlis temubual eksklusif drama Layang-Layang Perkahwinan di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini tular sedutan babak memaparkan adegan Azim Asibullah, watak dilakonkan Shukri sedang mandi sebelum dia didatangi Tsuraya Lin (Alya Iman) yang memasuki bilik air.

Azim tidak mengenakan baju kemudiannya bertindak menarik tangan Tsuraya dan memberikan senyuman mengghairahkan.

Sedutan video berkenaan mengundang kecaman netizen yang mendakwa adegan itu cuba menormalisasikan budaya pornografi ringan dalam drama Melayu.

Naskhah mendapat arahan Eyra Rahman yang memulakan siaran sejak 8 Jan lalu di Slot Megadrama Astro Ria itu turut dijayakan oleh pelakon lain seperti Ezzanie Jasny, Keith Foo, Nina Juren dan Arash Mohamad.

Naskhah itu berkisahkan Saida isteri yang sempurna buat Azim. Namun, Saida tidak menyedari dirinya telah dicurangi oleh Azim.

Sementara itu, mengulas respons Tya Adnan, Shukri berkata isterinya itu memilih untuk tidak menonton drama berkenaan.

Pun begitu, menurut Shukri dia terlebih dulu ada memaklumkan berhubung adegan yang akan dilakonkan kepada isterinya itu.

“Saya dah beritahu awal-awal pada Tya. Bukannya saya tak hormati dia. Dia pun memahami bidang kerjaya saya macam mana.

“Cuma dia tak mahu simpan perasaan negatif dalam hati dan pilih untuk tak menonton drama berkenaan,” katanya.