Skip to main
Logo Malaysiakini

Zarina berang dituduh lapar perhatian lepas bapa meninggal dunia

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pelakon Zarina Zainuddin berang apabila seorang netizen menuduh dia sengaja mencari perhatian apabila berkongsi kesedihan mengenai kehilangan bapanya di media sosial.

Kata Zarina, dia bukannya cuba meraih apa-apa perhatian sebaliknya sekadar ingin berkongsi peringatan buat orang ramai agar mereka mengambil berat ibu bapa masing-masing ketika mereka masih hidup.

“Saya sebenarnya bukan orang yang suka bercakap kasar, tapi orang ini bodoh dan tiada perasaan. Kau berambus dari hidup aku.

“Kau tak faham, aku nak kongsi supaya jadi pedoman dan peringatan untuk engkau orang yang masih ada mak bapa, bukannya nak cari perhatian.

“Saya tak suka orang macam ini, memang kurang ajar,” katanya sewaktu bersiaran secara langsung di Instagram hari ini.

Justeru, tanpa melengah-lengahkan masa pelakon filem Bidadari Kiriman Tuhan itu terus menyekat pengguna akaun terbabit daripada terus mengikutinya di Instagram.

“Saya tak suka orang macam ini, kurang ajar. Kau rasa kau hebat? Siapa sakit hati, saya block,” katanya.

Pengguna Instagram terbabit dalam komennya mendakwa Zarina seorang yang dahagakan perhatian kerana meluahkan perasaannya di media sosial.

“Kalau menangis tak payah buat siaran langsung, itu namanya minta perhatian,” katanya.

Untuk rekod, bapa Zarina, Zainuddin Ibrahim, 70, meninggal dunia kira-kira jam 6.40 petang semalam selepas menghidap kanser prostat tahap empat.

Jenazah Zainuddin selamat dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan kediamannya di Sendayan, Negeri Sembilan.

Terdahulu, menerusi perkongsiannya, Zarina meluahkan perasaan kesal kerana kurang memberi perhatian pada ayahnya selepas pasangan terbabit bercerai.

“Sebab itu saya selalu kata, kalau boleh janganlah bercerai dan cuba pertahankan rumah tangga walau apa pun berlaku.

“Kalau tak, anak-anak yang jadi mangsa. Anak itu akan rapat sama ada dengan ibu atau bapa yang bela mereka saja.

“Inilah yang dinamakan kehidupan. Setiap orang lalui pengalaman dan ujian masing-masing. Allahu akhbar. Sudah tiada ayah aku.

“Saya reda ayah pergi, cuma terkilan itu ada kerana saya tak dapat buat apa yang sepatutnya saya buat selama ini,” katanya.