Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiesto, Paul Van Dyk, Kid Laroi antara 40 artis antarabangsa gegar Genting Highlands

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Lebih 40 bintang antarabangsa bersama karyawan tempatan dengan pelbagai genre muzik dan hiburan tanpa had dihimpunkan sepanjang tempoh penganjuran sulung Festival Supalapa.

Festival Supalapa dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula 2 Mac ini di Resorts World Awana, Genting Highlands.

Pengerusi Maestro Production And Prodigy 1 Nation, Parthiban Murugaiya menyifatkan Festival Supalapa akan menjadi tanda aras pesta hiburan di Malaysia yang akan dinantikan setiap tahun.

“Pengunjung Festival Supalapa akan disajikan dengan sebuah acara yang gilang-gemilang dan ia diletakkan sebagai penanda aras baru dalam penganjuran festival.

“Kami berharap penganjuran pertama Festival Supalapa akan menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu kerana pengunjung boleh menemui hampir semua jenis muzik dalam satu festival,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Parthiban, perkara yang penting ialah Festival Supalapa mampu membantu melonjakkan nama Malaysia dalam kalangan pelancong dari luar negara kerana acara ini merupakan hub hiburan setaraf penganjuran antarabangsa.

Katanya, apabila menghimpunkan lebih 40 bintang atau karyawan seni, penganjuran acara ini menjadi platform terbaik buat pemuzik tempatan berkongsi pentas sekali gus merasai pengalaman berkongsi pentas dengan kemunculan bintang antarabangsa.

“Kami juga mahu Supalapa menjadi sebuah jenama global untuk festival muzik bagi dunia.

“Festival Supalapa bukan sekadar tentang hiburan tapi bagaimana kami memberikan keseronokan tanpa had sesuai dengan objektif penganjuran iaitu menjadi hub hiburan yang membuat pengunjung sentiasa teruja,” katanya.

Antara lebih 40 nama bintang ternama antarabangsa yang sedia menanti peminat pada festival itu ialah Tiësto, The Kid Laroi, EAJ, Somi, XG, Ali Gatie, Armani White, Tones and I, Ian Asher, Keemokazi, Paul Van Dyk dan Rave Republic. Bintang tempatan pula terdiri daripada barisan artis seperti Yuna, Saixse, Kidd Santhe, Talitha, Cluadia, Belle Sisoski,Jovynn, Coex, Forceparkbois & DJ Ziqq Axel Groove.

Di Festival Supalapa itu, pengunjung yang hadir boleh menikmati tiga genre muzik sekaligus dari EDM, Pop dan K POP. Kesemua genre muzik itu dipersembahkan dalam panggung masing-masing iaitu di Live Stage, EDM Stage dan Pool Stage.

Untuk rekod, Prodigy 1Nation bersama rakan kongsi acaranya Maestro Productions berjaya menganjurkan pelbagai konsert dengan jualan tiket sold out di seluruh Eropah, Kanada dan Asia manakala ini adalah festival muzik pertama mereka di Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Jualan, Pemasaran & MICE Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, selepas melalui perubahan besar, Resorts World Awana hari ini merupakan destinasi riadah bertaraf dunia di mana pengunjung boleh mengatur percutian bertemakan alam semula jadi.

“Ini peluang buat diri sendiri menikmati masa tenang bersama ahli keluarga di tengah-tengah kehijauan dan udara gunung yang sejuk,” katanya.