Skip to main
Logo Malaysiakini

Diuji hilang ibu bapa lebih berat dari kecaman orang - Alya Iman

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pemergian ibu bapa ketika usia masih muda membuatkan pelakon Alya Iman mampu untuk terus kental setiap kali berdepan cabaran hidup.

Justeru, apabila kecaman bertalu-talu diterima membabitkan keputusan hidupnya, anak arwah pelakon filem Ali Setan, Azmil Mustapha, itu boleh berlapang dada menerima takdirnya.

“Saya pernah melalui lebih teruk daripada itu (kecaman). Kebenarannya, walaupun usia baru 23 tahun, saya dah lalui bermacam-macam perkara dalam hidup.

“Saya kehilangan ayah, membesar pula dalam keluarga yang berpecah-belah (kerana ibu bapa bercerai), kemudian bekerja pada usia muda untuk membantu menyara ayah dan pelbagai lagi yang saya lalui menjadikan saya kental.

“Jadi, apabila ada sesuatu perkara buruk berlaku, saya akan cakap pada diri sendiri: Alya, kamu dah lalui yang lebih teruk, apa lagi? Kamu boleh hadapi ini,” katanya.

Walaupun pernah dihujani pelbagai kecaman, Alya berkata, tidak pernah sedikit pun terdetik dalam hatinya untuk mempersoalkan takdir yang sudah tertulis.

Bagi pelakon Ku Punya Hati itu, setiap dugaan yang datang pasti mempunyai hikmah tersendiri dan dia hanya berusaha mengelak dirinya daripada berterusan berasa sedih.

“Menangis itu memang pernah, tapi tak adalah sampai saya mahu persoalkan Tuhan mengapa orang benci saya,” katanya.

Alya berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman drama terbaru lakonannya, Layang-Layang Perkahwinan, di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nama Alya bukan asing lagi dalam dunia hiburan tanah air terutama kerana dia mempunyai seorang bapa yang sering diingati hasil lakonannya.

Selain Ali Setan, Azmil turut terkenal dengan filem lain seperti Mekanik, Kepala Angin, Suara Kekasih dan Driving School.

Azmil meninggal dunia pada 2018 akibat sakit jantung manakala ibunya, Jamaliah Jamari menghembuskan nafas terakhir akibat kanser pada 2022.

Untuk rekod, Alya pernah dikecam kerana menukar penampilannya kepada tidak bertudung dan semakin seksi, selain didakwa menjadi perosak rumah tangga orang.

Pun begitu, Alya kemudian tampil dengan kenyataan mendakwa dia pernah mengikat tali pertunangan dengan lelaki terbabit.

Sementara itu, berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama Layang-Layang Perkahwinan yang masih ditayangkan di Astro Ria, Alya berkata, watak yang dijayakannya itu memberi cabaran besar buat dirinya.

Kata Alya, drama arahan Eyra Rahman yang diadaptasi daripada drama Indonesia, Layangan Terputus, itu menuntut dia tampil dengan karakter lebih beremosi.

“Watak itu satu cabaran besar dan berat kerana diri saya seorang yang suka pendam perasaan.

“Memang saya takut untuk jayakan watak Suraya tapi alhamdulillah, kak Eyra banyak membantu,” katanya.