Skip to main
Logo Malaysiakini

FBI nafi bernikah isteri kedua di Madinah

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Bekas penyampai radio popular Faizal Ismail atau FBI menafikan dakwaan dia bernikah kali kedua sewaktu berada Madinah, Arab Saudi kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, cakap-cakap belakang itu mungkin timbul disebabkan berlaku perkara tidak dijangka ketika dia bergelar duta sebuah agensi menguruskan umrah.

“Saya boleh katakan, tidaklah. Saya ini banyak bercerita, bergurau dengan kawan-kawan tapi, secara jujurnya tak berlaku perkara itu.

“Mungkinlah ada cakap-cakap di belakang sebab saya baik dengan orang-orang tertentu. Tapi, untuk langsungkan secara sah, tak.

“Memang ada benda-benda tak menyenangkan berlaku pada ketika itu hingga wujud individu menggunakan cara-cara tertentulah,” katanya.

Diminta menjelaskan jika individu terbabit berniat menjatuhkannya ,Faizal menjawab: “Lebih kurang begitulah.”

Faizal berkata demikian selepas berakhir pelancaran Konsert Makan Malam Kesadaran Amal untuk Madrasah al-Muqwa di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Kena periksa diri sendiri

Konsert amal itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 17 Feb ini.

Faizal, 47, bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang membuat dakwaan mengenai rumah tangganya itu.

Alasan Faizal, dia enggan menambah kekeruhan sedia ada bahkan mengakui kesilapan mungkin berpunca daripadanya yang sukar menjalinkan komunikasi.

“Dia sendiri pun sendiri dalam masalah. Jadi, jangan tambahkan lagi. Ketika itu, hubungan kami agak renggang.

“Saya banyak salahkan dia dan dia salahkan saya. Ketika itu dia juga mungkin dalam tekanan. Jadi, dia kena buat satu cerita,” katanya.

Sebelum ini, tular sebuah klip video mendedahkan pengakuan seorang lelaki mendakwa menjadi saksi pernikahan individu yang disebutnya sebagai "Ustaz Faizal Ismail" dengan wanita bernama Nor.

Video dikirim oleh pembaca itu memaparkan individu dikenali sebagai Ustaz Zakaria Babad mendakwa pasangan itu dinikahkan di Mekah, Arab Saudi.

Disoal mengenai reaksi isterinya, Nor Azlina Ahmad Din, mengenai spekulasi dia tiba-tiba berkahwin lain, Faizal mendakwa wanita itu boleh menerima poligami.

Bekas penyampai radio Hot FM itu juga berkata, sekiranya dia ingin berpoligami, sudah tentu hasrat itu tidak akan disembunyikan daripada pengetahuan isterinya.

“Isteri saya OK. Kalau hal-hal poligami, dia OK saja. Maksudnya, dia tak menolak sepenuhnya,” kata Faizal.

Mengenai keinginan beristeri dua, Faizal berkata dia belum menjurus ke arah itu buat masa ini.

Malah katanya, untuk seseorang lelaki membuat keputusan berkahwin dua bukan mudah malah individu itu perlu memikirkan kemampuan masing-masing terlebih dulu.

“Saya boleh cakap (dalam konteks) masa sekarang. Tapi, yang akan datang, wallahu a'lam. Sebab kita manusia, kita tak tahu.

“Mampukah saya? Memang, lelaki ini keinginannya tinggi. Tapi, bila fikir balik kemampuan kita, bukan saja dari segi batin, kita kena periksa diri kita adakah kita mampu adil dari sudut hati?

“Jadi, itu satu perkara besar. Walaupun kita bagi nafkah (wang ringgit) setiap bulan, tapi hati isteri masing-masing kena adil itu yang susah nak jaga,” katanya.