Skip to main
Logo Malaysiakini

Konsert Ed Sheeran diteruskan, lampu hijau dari Puspal - Fahmi

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi jaminan konsert bintang pop British Ed Sheeran akan berjalan seperti yang dijadualkan.

Katanya, konsert itu telah mendapat lampu hijau daripada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-Puspal).

Fahmi berkata demikian susulan desakan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor supaya kerajaan membatalkan permit konsert itu.

Wan Salim dipetik Sinar Harian menyeru umat Islam memulaukan konsert itu kerana Sheeran dikatakan "penyokong tegar komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)."

"Saya terima baik pandangan daripada Mufti Pulau Pinang mengenai perkara ini," kata Fahmi pada sidang media di Putrajaya hari ini.

"Namun antara 16 agensi yang terbabit dalam perbincangan untuk memutuskan permohonan mana-mana persembahan artis luar negara melalui jawatankuasa Puspal adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini, jadi saya mohon supaya proses sedia ada ini (diikuti), kita ambil maklum pandangan tetapi kita ada prosesnya," katanya.

Fahmi berkata tiada sebarang perubahan terhadap permit yang diberikan kepada konsert tersebut yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Feb ini.

“Buat masa ini, ya (konsert masih itu masih diteruskan)," jelasnya.

Sebelum ini, konsert kumpulan Coldplay dari Britain juga mendapat tindak balas yang sama daripada pemimpin agama dan ahli politik pembangkan yang melabelkan penghibur berkenaan sebagai "kumpulan tidak bermoral yang menyokong LGBT."

[Baca berita asal]