Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dah tak relevan kerja lama-lama di set penggambaran'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pelakon terkenal, Nadiya Nissaa, mendedahkan amalan tidak sihat memang berlaku dalam kalangan kru belakang tabir dan watak depan kamera kerana mereka perlu mengekalkan momentum sewaktu bekerja lebih masa.

Menurutnya, amalan itu membabitkan pengambilan kafein berlebihan namun pada masa sama mengundang padah apabila ia menjejaskan kesihatan masing-masing.

Kerana amalan yang tidak diimbangi dengan pemakanan sihat sebegitu, kata Nadiya, ramai pekerja dan anak seni mengalami masalah kesihatan walaupun masih muda.

“Kesannya, ada yang kena serangan jantung, atau sakit jantung sebab masing-masing nak pastikan mereka kekal bertenaga dan tidak mengantuk.

“Jika berterusan macam ini, sebelum berusia 40 tahun pun dah boleh kena serangan jantung,” katanya.

Bagi Nadiya, untuk menghasilkan sesebuah karya yang bermutu, pihak produksi wajar mempunyai sistem kerja yang lebih teratur dan produktif.

Tambah pelakon Imaginur itu lagi, dengan adanya budaya dan sistem kerja yang baik secara berterusan, ia bukan saja memelihara kebajikan semua pihak, malah meningkatkan motivasi mereka.

“Pada pendapat saya, dah tak relevan kerja lama-lama di set penggambaran - misalnya dari pagi hari ini sampai ke pagi hari esok.

“Kita juga kena belajar daripada pengalaman pekerja senior yang dah meninggal dunia atau jatuh sakit.

“Ada saja karya menghiburkan tapi mampu disiapkan dengan sistem kerja yang teratur dan produktif,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Seofis di Worq KL, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ada klausa tertentu

Seofis berkisahkan pertembungan tiga personaliti wanita berusia 30-an dan berkerjaya lalu membentuk ikatan persahabatan bagi mengharungi suka duka, cita-cita dan cinta di ibu kota.

Drama bersiri 12 episod itu diterbitkan Parallax Pictures dan diarahkan oleh Faizul Jais, manakala skrip dihasilkan oleh Nadia Khan dan Mamu Vies.

Selain Nadiya, Seofis turut dijayakan Siti Saleha dan Nadia Aqilah, Fahrin Ahmad, Hafizul Kamal, Munir Kharuddin, Akmal Azwar, Syahir Shafien serta Anas Ridzuan.

Mengulas jadual penggambaran Seofis, Nadiya berkata, dia bersyukur apabila diketemukan dengan produksi yang mengamalkan sistem kerja produktif.

Menurut pelakon Terbaik Dari Langit itu, suasana bekerja yang kondusif menyuntik semangatnya untuk memberikan persembahan sehabis baik melalui watak yang dijayakan.

“Apabila penerbit beritahu waktu kerja cuma dari jam 8 pagi hingga 6 petang, saya terus rasa gembira sebab bukan selalu dapat produksi macam tu.

“Selain seronok bekerja dengan teman baik seperti Nadia Aqilah dan Siti Salehah, peluang seperti ini memang mengujakan kerana dapat pulang waktu petang dan ada masa untuk luangkan bersama keluarga,” katanya.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini menjanjikan pelaksanaan kontrak standard melibatkan kru, pelakon dan penerbit yang mengandungi klausa terperinci berhubung isu kerja lebih masa.

Ketua pegawai eksekutifnya Azmir Saifuddin Mutalib berkata berkata kontrak standard itu akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menurutnya, ia bertujuan menyelesaikan isu kerja lebih masa dan perkara berbangkit lain yang berkaitan dengan kebajikan pekerja di belakang tabir.

“Dalam kontrak standard itu, akan ada klausa seperti tangga gaji, tempoh waktu bekerja sehari dan insurans serta Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) supaya kebajikan pekerja ini terlindung,” katanya.