Skip to main
Logo Malaysiakini

Iskandar Spring sebak isteri berjaya teruskan hasrat buka Kafe Spring

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pemain gitar Spring, Iskandar, yang terlantar sakit terharu sebaik saja mengetahui isteri dan anak sulungnya kini berpeluang membuka sebuah kafe di Wireless Walk, Miri Sarawak selepas beberapa bulan berpindah ke sana.

Nur Hidayah Cecilia Abdullah atau lebih mesra disapa Cece berkata, hasrat membuka Kafe Spring itu sebenarnya bermula daripada Iskandar sendiri selepas suaminya nekad bersara dari dunia muzik.

“Abang Is memang sebak apabila diberitahu perkara ini.

"Asalnya, memang hajat dia yang nak buka kafe dan berniaga sewaktu berhenti menyertai persembahan bersama Spring kerana sakit gaut sekitar tahun 2000 dulu,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Cece, 44, walaupun mengusahakan kafe, kerjayanya sebagai tukang urut sewaktu menetap di Seremban tetap diteruskan di Miri bagi menampung keperluan hidup mereka sekeluarga.

Katanya, cabaran perlu didepani semakin berat selain berulang-alik ke rumah untuk menjaga Iskandar, dia juga perlu menjalankan dua pekerjaan serentak kerana kafe berkenaan masih kurang mendapat sambutan.

“Kafe Spring baru kami buka awal bulan ini, mungkin masih ramai yang tidak tahu.

"Antara menu yang kami sediakan ialah nasi ayam Hainan dan nasi lemak ayam goreng berempah," katanya.

Nak cari rumah kedai

Apabila tidak dapat menguruskan kafe, kata Cece, tugas itu diserahkan tugas kepada anak sulung mereka, Tengku Ishak, 25.

“Disebabkan dia masih baru dalam bidang masakan, jadi banyak perkara saya perlu pantau,” katanya yang terlebih dulu meminta keizinan anggota Spring yang lain untuk menggunakan nama band itu sebagai jenama kafenya.

Tahun lalu Malaysiakini melaporkan Iskandar dan keluarga perlu berpindah ke Sarawak ekoran tidak berkemampuan untuk terus membayar rumah sewa di Seremban.

Iskandar atau nama penuhya Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail menderita pelbagai penyakit kronik termasuk lumpuh. Mereka mula berpindah ke Miri pada Mac tahun lalu.

Mereka kini menyewa sebuah rumah di Miri dengan bayaran bulanan sebanyak RM950.

Ditanya mengenai kesihatan Iskandar, Cece menjawab, kini bahagian kanan badannya sudah semakin melemah.

“Dulu strok bahagian kiri. Kini bahagian kaki kanan pula kian lemah.

"Dia sudah tidak boleh mengiring sendiri kerana tidak berdaya. Itu yang saya tak boleh tinggalkan dia lama-lama seorang diri.

“Jika ada rezeki lebih, saya berhasrat untuk mencari rumah kedai, tak perlulah saya berulang-alik dari rumah ke kafe untuk jaga kebajikan dia,” katanya yang menjalankan operasi kafe dari jam 10 pagi hingga 10 malam.