Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelly Azman dakwa Erry Putra plagiat No No No

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Penyanyi dan pengacara Kelly Azman meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila lagunya berjudul No No No didakwa diciplak oleh seorang rakan artis.

Bukan itu saja, lebih menambah ‘bara’ apabila pelakon dan penyanyi Erry Putra - yang didakwa menciplaknya - menukar judul lagu itu kepada Oh No Sayangku, selain hanya mengubah beberapa baris lirik dan melodi.

"Mula-mula saya ingat dia mungkin nyanyi lagu itu sebagai lagu cover, tapi apabila dengar ia hampir sama dengan lagu saya.

“Apabila saya buka Instagramnya, dia (Erry) cakap lagu itu single terbarunya.

“Mana boleh macam ini sebab lagu itu saya yang cipta dan nyanyi sendiri, malah disiarkan lebih awal iaitu pada 2017,” katanya.

Pada masa sama, Kelly atau nama sebenarnya Raja Azman Raja Ayob berkata, dia sudah cuba menghubungi Erry untuk mendapatkan penjelasan namun gagal.

Bahkan kata Kelly, 47, dia amat terkilan kerana Erry seorang rakan dan mereka boleh dikatakan sering mengadakan persembahan bersama.

“Padahal kami selalu berjumpa sebab show sama. Lagi geram sebab saya berhabis hampir RM10 ribu buat lagu itu.

“Jadi tolonglah hormat karya dan titik peluh orang lain,” katanya yang tidak berniat untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Erry.

Kelly berkata demikian pada majlis previu bufet Ramadan Hotel Royal Kuala Lumpur yang berlangsung baru-baru ini.

Hidangan sempena Ramadan bertemakan Citarasa Klasik itu akan ditawarkan dari 13 Mac hingga 18 April, bermula pada harga RM108 untuk dewasa manakala RM58 untuk warga emas dan kanak-kanak.

Erry Putra

Sementara itu, Erry menerusi hantaran di Instagram menepis dakwaan terbabit dengan berkata dia sudah membayar komposer lagu berkenaan sebelum merakamkan karya tersebut.

Menurutnya, Oh No Sayangku dirakamkan pada lima tahun lalu namun baru saja dilancarkan tahun ini.

“Saya nak tanya dia, yang dia kata saya ciplak lagu, mana dia dapat lagu ini sebenarnya?

“Saya dah rakam lagu ini lima tahun lalu. Memang saya baru nak release (lancarkan) sekarang.

“Entah-entah budak itu (komposer) beri dia dengar 'demo' saja,” katanya.