Skip to main
Logo Malaysiakini

Mizz Nina lega isu hak penjagaan Musa selesai

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Selebriti yang juga aktivis kemanusiaan Mizz Nina meluahkan perasaan lega apabila Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini membenarkan permohonannya untuk menarik balik tuntutan penjagaan penuh dan inter-parte terhadap hak penjagaan sementara anak angkat, Musa.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman berkata, isu hak penjagaan Musa, 2, tidak perlu dibangkitkan kerana mendakwa dia memiliki dokumen penuh sebagai penjaga yang disahkan secara mutlak.

“Saya mempunyai dokumen pengangkatan yang mana tidak tertulis nama dia (Noh). Jadi dengan ada dokumen ini bermaksud tiada pertikaian.

“Saya tegaskan tiada lagi pertikaian sebab ini bukan kes hak penjagaan dan kami mempunyai dokumen pengangkatan yang lengkap,” katanya.

Menurut Mizz Nina, 43, dia ingin Musa dibesarkan dalam persekitaran yang sihat dan stabil bagaimanapun, berlainan hal pula yang berlaku selepas mengambil kanak-kanak itu semula daripada bekas suaminya.

Dakwanya, Musa berdepan trauma apabila dibawa keluar dari rumah dan akibat terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Musa diambil tanpa pengetahuan dan kebenaran ketika saya baru tiba di Jepun untuk urusan perniagaan.

“Trauma yang dilalui kerana perlu berpisah dengan ibunya. Dia bukan barang, dia anak kecil yang tidak tahu nak cakap, tapi dia boleh rasa kesunyian, pengabaian.

“Tiga minggu lebih, kami tidak tahu dia di mana. Bayangkan apa yang kami rasa, bayangkan anak anda terpisah dengan anda selama tempoh itu,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menurut Nina, dia membawa Musa mendapatkan rawatan dengan pakar psikiatri bagi membantu anak kecil itu mengatasi kesan trauma yang dialami.

Mizz Nina hadir ke mahkamah bersama suaminya, Essam Muhammad dan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan serta Mahmud Abdul Jumaat.

Pada masa sama, Fakhrul berkata Mizz Nina ialah ibu angkat Musa yang sah, justeru tiada isu berbangkit kerana kes kedua-dua kes sudah rasmi ditarik balik.

“Tiada isu apa-apa, seperti siapa yang nak melawat sebagainya kerana ini bukan kes penjagaan anak untuk anak kandung.

“Keputusan muktamad adalah kepada ibu anak tersebut yang memutuskan untuk memberi hak penjagaan penuh kepada Mizz Nina.

“Kami sudah tarik balik kedua-dua kes dan mahkamah sudah benarkan. Pihak sana menyuarakan mengenai kos pentaksiran, tapi urusan itu antara peguam nanti dan Mizz Nina tidak terlibat,” jelasnya.

Tambah Mahmud pula, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga mengesahkan hak jagaan di bawah nama Mizz Nina saja.

Katanya, penjelasan perlu dibuat agar tiada salah faham berhubung alasan Mizz Nina membuat penarikan tuntutan terbabit.

“Dalam JPN, hanya nama Mizz Nina seorang saja berdaftar.

“Berhubung kes hak penjagaan bersama kenapa dapatkan daripada pihak yang mendapat autoriti.

“Sebab itulah kami tarik balik sebab tak ada isu perlu dibicarakan dan diputuskan pihak mahkamah,” katanya.