Skip to main
Logo Malaysiakini

Noh bidas dakwaan Mizz Nina, sedia kemuka bukti

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh sudah bersedia untuk menunjukkan bukti bahawa dia juga adalah penjaga anak angkat mereka, Musa yang sah.

Dakwanya, ibu kandung Musa juga membenarkan dia menjaga kanak-kanak berusia dua tahun itu menerusi akuan berkanun (SD) yang diserahkan kepadanya.

“Hujahan dia (Mizz Nina) ada akaun berkanun daripada ibu kandung Musa, sama juga seperti saya.

“Kita nak bagi bukti, tetapi dia telah tarik permohon inter-parte itu. Jadi saya tidak ada kesempatan untuk tunjukkan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menurut penyanyi lagu DugaanNya itu, dia sudah mendaftarkan hak penjagaan Musa di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pada masa sama meminta bekas isterinya itu mengemukakan bukti jelas seperti yang didakwanya.

“Hari ini, mahkamah setuju untuk penarikan balik, tapi mahkamah tidak keluarkan perintah hak penjagaan itu kekal padanya.

“Nama saya juga dinyatakan sebagai penjaga sah Musa dalam dokumen yang saya sendiri daftarkan di JKM tanpa ditemani Nina.

“Jadi mana kebenaran atas dakwaan yang nama saya tidak dinyatakan dalam dokumen tersebut?

“Apa buktinya yang dia penjaga tunggal Musa yang sah? Mana dokumen yang menyokong dakwaan tersebut?

"Saya boleh buka semua bukti dari awal, sebab semuanya ada bersama saya, tapi saya tak mahu dedahkan aib bekas isteri saya,” katanya.

Terdahulu, Mizz Nina mendakwa dia memiliki dokumen penuh pengesahan sebagai penjaga mutlak Musa.

Bekas penyanyi itu juga meluahkan perasaan lega apabila Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini membenarkan permohonannya untuk menarik balik tuntutan penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara anak angkat mereka Musa.

Bagaimanapun, Noh berkata dia menghormati segala keputusan yang dibuat oleh mahkamah dan akan menggunakan saluran yang betul untuk mendapat kebenaran bertemu Musa walaupun mendakwa komunikasi sudah disekat oleh bekas isterinya itu.

“Apa pun kena kembali tujuan asal kenapa mak dia datang untuk ambil Musa; atas kebajikan, penjagaan Musa. Cuma saya tidak mahu keluarkan kenyataan tentang itu.

“Apa pun sekarang adalah untuk kebaikan Musa. Saya turun dua hari ini pun untuk kebajikan Musa. Walaupun dia anak angkat, tetapi saya kalau dah sayang, saya akan sayang sepenuhnya.

“Cuma saya nak tegaskan, tiada unsur culik sebab pihak polis sendiri tidak tahan saya walaupun ada laporan polis terhadap saya,” katanya.