Skip to main
Logo Malaysiakini

Neo tetap pentingkan pendidikan meskipun dah jadi penyanyi

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Rapper cilik, Neo, berazam menuntut ilmu akademik hingga ke peringkat tertinggi serta menamatkan pengajian itu dengan berjaya suatu hari nanti.

Katanya, meskipun sudah bergelar seorang penghibur dan mempunyai laluan untuk menempa populariti, kelebihan yang ada padanya itu tetap tidak membantutkan impiannya untuk terus belajar.

“Walaupun sudah berdiri di sini (penyanyi) saya masih fikir nak sambung belajar hingga ke universiti. Pendidikan itu amat penting bagi saya,” katanya.

Menurut Neo atau nama sebenarnya Mohammad Sharul Neo Morsidy, 14, tanggungjawab menuntut ilmu adalah suatu proses yang tidak akan berakhir.

“Sebab dalam kehidupan ini, pembelajaran itu tidak akan tamat. Saya juga tidak akan berada di sini kalau tidak belajar,” katanya pada majlis Media Gathering with Razzuan, HarsonBee, Neo, Achik Asrain & Nadia Rosli di ibu pejabat Petaling Jaya, Selangor semalam.

Pada majlis itu, Neo memperkenalkan lagu Oh Ibu ciptaan sepenuhnya oleh Cinderella dan dirakam di LY Music Factory, Shah Alam.

Sebelum ini, seorang penyanyi usia 20-an mendakwa dirinya membuang masa pergi ke sekolah kerana apa dilakukan tidak mempunyai kaitan dengan kerjaya ketika ini.

Penyanyi itu dalam kenyataannya melalui satu klip video tular turut berpendapat, sistem persekolahan perlu diubah kerana masyarakat hidup dalam dunia serba moden dan sentiasa berubah, sedangkan sistem persekolahan masih di takuk sama.

Berkongsi kisahnya sebelum bergelar penyanyi, Neo berkata, pada asalnya dia mempromosi dirinya sewaktu menjual pakaian terpakai secara jualan langsung di media sosial.

Katanya usaha tersebut dilakukan untuk membantu ibunya melariskan jualan-jualan pakaian terpakai.

“Saya jadi peniaga bundle (pakaian terpakai) dan pada masa sama cuba menarik tontonan dan buat pendedahan pasal nyanyian saya melalui Facebook Live,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai Oh Ibu, Neo berkata, ia ditujukan khas buat ibunya malahan lagu itu ditulis berdasarkan kisah mereka.

Menurutnya, penulis Cinderella mengambil masa untuk mengenali dia dan ibunya agar luahan emosi dalam lagu tersebut dapat disampaikan kepada pendengar.

“Setiap bait adalah rasa sebenar mengenai perjuangan seorang ibu dan anak dalam kehidupan seharian.

“Melodi lagu ini disesuaikan dengan luahan lirik agar dapat lontar perasaan dan diterjemahkan melalui persembahan vokal rap yang beremosi,” katanya.