Skip to main
Logo Malaysiakini

5 otai rock kumpul saham akhirat bantu pelajar anak yatim

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Atas dasar keprihatinan terhadap nasib yang menimpa madrasah Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa), lima rockers otai yang telah berhijrah berkongsi pentas bagi membantu pihak pengurusan mengumpul dana.

Penyanyi XPDC, Ali yang dilantik sebagai duta sejak 2020 bersyukur dapat terus berbakti kepada madrasah itu yang terletak di Klang, Selangor.

Katanya, madrasah yang menempatkan anak-anak yatim, fakir miskin dan anak-anak mualaf terbiar itu mengalami masalah kewangan yang sangat ketara sejak wabak Covid-19 dan kini menanggung beban hutang yang sangat tinggi.

“Saya bersyukur sekali lagi terbabit dengan program yang positif ini. Ia adalah saham akhirat bukan kepada saya saja tapi juga artis-artis lain serta semua pihak.

“Mereka yang membeli tiket juga secara tidak langsung turut beramal bagi membantu perkembangan madrasah ini. Ia perkara yang sangat baik,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk rekod, Ali berperanan mencari dana bagi membantu pembangunan madrasah melalui Majlis Makan Malam Kesadaran Amal yang dijadual berlangsung 17 Feb ini, bermula jam enam petang sehingga 11 malam.

Majlis itu bakal diadakan di Dewan MBSA Convention Centre di Shah Alam, Selangor.

Mewakili teman-teman lain, Ali berkata mereka meletakkan harapan yang tinggi agar orang ramai dapat bersama menghulurkan bantuan bagi menjayakan hasrat Madrasah Al-Muqwa untuk terus "bernafas".

“Ini adalah sebahagian daripada kerja amal kami untuk membantu sedaya mungkin hasrat penganjur.

“Saya berharap selain berhibur kita juga beramal ke arah kebaikan. Semoga amalan kita diberkati, insya-Allah,” katanya lagi.

Awie

Selain Ali, turut menjayakan majlis itu adalah Awie, Ijam Medicine, Ady Wow dan Anjang Terra Rossa.

Majlis akan dikendalikan oleh penyampai dan pengacara popular tanah air Faizal Ismail dan penyanyi Mawi.

Sementara itu, Mudir Al-Muqwa, Amran Johari berkata pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM1.3 juta menerusi majlis berkenaan.

Amran berkata dia berharap pengisian program yang memaparkan tema selebriti rock dalam majlis berselawat dan berqasidah menjelang Ramadan itu berupaya meringankan beban hutang berjumlah RM285,000 ribu untuk membiayai kos operasi sebelum ini.

“Madrasah ini tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelajar-pelajar atau anak yatim yang menghuni kawasan ini untuk diasuh menjadi penghafaz Al-Quran dan juga alim ulama,” katanya.

Tambah Amran, mereka juga antara lain mempunyai tunggakan hutang bil elektrik dan air mencecah RM80,000 ribu untuk tempoh dua tahun.

Justeru, katanya, dia berharap Malam Kesadaran Amal itu akan mendapat sambutan menggalakkan.

“Kami menyasarkan jumlah sebanyak itu daripada jualan meja dan sumbangan daripada pelbagai aktiviti kebajikan yang dirancang pada malam berkenaan seperti jualan lelong barangan artis dan pelbagai lagi.

“Kami akan buka jualan tiket untuk 900 kerusi di dalam dewan dengan harga tiket RM188 saja,” katanya lagi.