Skip to main
Logo Malaysiakini

HarsonBee intai peluang cipta nama melalui LY, Baiduri

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Bersaing dengan penyanyi baru lain yang tumbuh bak cendawan sedikit pun tidak menggerunkan HarsonBee yang berasal dari Sabah.

Bagi Harson, dia yakin keputusan bernaung di bawah L.Y Music Factory yang dimiliki pasangan komposer terkenal, L.Y dan Baiduri mampu membuka peluang untuk dia menempa nama.

Berkongsi bibit permulaan bagaimana dia berjaya ‘mencuri’ hati LY dan Baiduri, HarsonBee berkata detik itu berlaku selepas menghasilkan Pemilik Hatiku.

“Sewaktu dalam pengajian di kolej, saya tulis dan cipta lagu Pemilik Hatiku. Lagu itu kemudian dirujuk kepada pensyarah muzik saya, Chonnel George.

“Chonnel banyak bimbing saya hingga lagu ini siap sepenuhnya. Tapi, tanpa pengetahuan saya, pensyarah kemudian hantar lagu itu kepada LY.

“Saya bersyukur kerana lagu itu diterima dan saya dipanggil untuk rakaman,” katanya pada majlis Media Gathering di Petaling Jaya baru-baru ini.

Selain HarsonBee, LY dan Baiduri turut memperkenalkan seorang lagi artis naungan mereka iaitu Neo yang juga dari Putatan Sabah.

Horsonbee atau nama sebenarnya Harrison Bryan Herman, graduan Diploma Muzik, Kolej Universiti Borneo Utara (KUBU) mula mencipta lagu menerusi projek Sabah Next Top Composer (SNTC).

Menerusi pertandingan yang diadakan sepenuhnya secara dalam talian menggunakan platform YouTube itu, HarsonBee berjaya mendapat tempat ketiga dengan mempertaruhkan karya ciptaan sepenuhnya berjudul Cerita Cinta Kita.

Menjadi sebahagian daripada ahli keluarga L.Y Music Factory, HarsonBee justeru berharap kemunculan single Pemilik Hatiku itu diterima ramai.

Jelasnya, dia berasa amat beruntung kerana lagunya mendapat sentuhan dan dijaga oleh LY atau nama sebenar Rozman Shafie, selaku penerbit.

Kata HarsonBee, ia adalah single pertama yang dipertaruhkan bagi memperkenalkan lagi namanya dalam dunia seni.

“Lagu ini cukup dekat dihati saya dan pasti juga kepada peminat di luar sana terutamanya mereka yang sedang bercinta.

“Semoga lagu ini menjadi permulaan tahun 2024 untuk kerjaya seni saya. Mencari melodi ini ambil masa kerana pada masa yang sama saya mendengar lagu-lagu daripada pelbagai genre.

“Kemudian saya pilih konsep bubblegum pop. la adalah satu cabang daripada genre pop, yang mana ia mempunyai elemen catchy, cute dan juga upbeat tambahnya.

Sementara itu, LY berkata, bakat baru yang diketengahkan mempunyai kelebihan dari segi suara dan pengaruh tersendiri.

“Bukan saja pada bakat dan suara, kelebihan dua anak muda ini dalam mencipta lagu sendiri juga harus diketengahkan dan diberi peluang berada dalam industri muzik tanah air.

“Sebagai orang lama dalam industri, kita harus membuka peluang untuk mereka yang berbakat bagi mewarnai industri kita ke peringkat lebih tinggi,” katanya.