Skip to main
Logo Malaysiakini

Ali Puteh jual kereta, motor dan trofi langsai hutang

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pelawak Ali Puteh berusaha menjual satu persatu barangannya termasuk kereta, motosikal dan trofi dipercayai demi melunaskan hutang kepada kakak ipar yang juga balu kepada allahyarham Abam Bocey.

Melalui hantaran Instagram rakan Ali, Pojie Pidon, isteri pelawak terbabit, Melati Fitri dilihat menitiskan air mata sewaktu melepaskan kenderaan mereka.

“Honda Accord, sold. Terima kasih hamba Allah ini datang dari Johor Bahru. Sangat mudah berurusan.

“Moga ada rezeki lain untuk Ali dan isteri,” menurut keterangan video dalam laman sosial berkenaan.

Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali, atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, untuk membayar ganti rugi kepada kakak iparnya, Norhidayah Mohd Ali sebanyak RM60,000 dalam kes saman fitnah yang difailkan wanita itu.

Hakim Zulqarnain Hassan berkata hantaran dibuat Ali adalah sangat menjatuhkan maruah dan mengaibkan isteri arwah.

Terdahulu, melalui akaun Instagram sama, sebuah motosikal RXZ berwarna merah dikatakan milik Ali juga turut berjaya dijual.

Selain itu, momen Ali bersama isteri dan rakannya mengumpulkan piala kemenangan Abam dari beberapa program realiti juga mendapat perhatian netizen.

Menurut Pojie, kesemua trofi yang berada dalam gambar berkenaan sudah dijual.

“Sold. Sayang memang sayang. Terjual semua piala kenangan (program lawak). Insya-Allah ada rezeki lain nanti untuk Ali Puteh dan Melati Fitri,” tulisnya.

Antara yang kelihatan adalah trofi Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, trofi Projek Komedi Warna dan satu lagi pertandingan lawak.

Perkongsian itu meraih perhatian banyak pihak yang rata-rata memuji tindakan Ali kerana menggunakan pelbagai cara demi melunaskan hutangnya.

“Permulaan yang baik. Moga selepas ini terus dimurahkan rezeki dan mendapat tawaran berlakon melimpah-ruah,” kata seorang netizen.

“Tidak mengapa. Selesaikan yang ini dulu. Insya-Allah ada rezeki lain, lapangkan hati,” kata seorang lagi.