Skip to main
Logo Malaysiakini

Hasrat Daqmie cetus fenomena kedua Casablanca tak kesampaian

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Komposer Daqmie mendedahkan hasratnya untuk mencari penyanyi lain bagi meneruskan kesinambungan lagu yang mencetuskan fenomena, Casablanca selepas pihak pengurusan Naufal Azrin dan Nuha Bahrin tidak memberi maklum balas sejak setahun lalu.

Menurutnya, selepas kejayaan lagu yang liriknya terdiri daripada gabungan bahasa Melayu dan Arab itu, dia menghantar sebanyak tiga buah lagu kepada syarikat pengurusan Naufal dan Nuha.

Namun kata Daqmie, sehingga kini, usahanya itu hanya dipandang sepi.

“Perancangannya adalah selepas Casablanca, Naufal dan Nuha akan menyanyi single masing-masing sebelum bersatu kembali sebagai duo.

“Pihak pengurusan maklumkan mereka akan semak dulu lepas saya hantar tiga lagu tapi lepas setahun pun tidak ada maklum balas.

“Tak jumpa orangnya, entah ke mana pergi dah,” katanya.

Bagaimanapun, Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap berkata, dia sedikit pun tidak berkecil hati atas nasib yang menimpa.

Katanya, situasi sebegitu sudah biasa dilaluinya sebagai komposer.

“Saya bersikap profesional. Tiada istilah berkecil hati, saya sudah lali dengan situasi sebegini.

“Pada pandangan saya, Casablanca muncul di peringkat terakhir lagu Melayu Arab diterima di negara ini.

“Pusingannya sudah sampai ke penghujung. Selepas itu graf pendengar untuk muzik genre ini akan jatuh,” katanya.

Daqmie, 53, ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya yang berjudul Ramadan 1445 di sebuah restoran di Kuala Lumpur semalam.

Album tersebut mengandungi 18 buah lagu termasuk 10 doa, empat lagu dendangan penuh dan empat minus one bersama kumpulan nasyid popular seperti Rabbani dan Syahmura.

Untuk rekod, Casablanca ciptaan bersama Daqmie dan Abdul Karim Al Ali itu pernah menduduki tangga teratas Spotify Viral 50 Malaysia, Joox Malay Hits, Carta Top 10 RIM dan 100 Top Apple Music ketika awal pelancaran pada Jun 2022.

Ditanya sama ada dia ada menghubungi kedua-dia artis terbabit atau tidak untuk bertanya lanjut, Daqmie menjawab dia hanya berurusan dengan pihak pengurusan.

Menurutnya, dia pernah bertemu dengan Nuha dan Naufal hanya sekali pada satu majlis yang mengumpulkan semua individu yang terbabit dalam penghasilan lagu.

“Saya berurusan dengan pengurusan saja dan tidak pernah berhubung terus dengan mereka.

“Jadi, saya hanyalah kontraktor yang hasilkan lagu saja.

“Kalau jumpa pun, rasanya pernah sekali saja dalam satu majlis yang mengumpulkan semua orang terbabit dalam penghasilan lagu itu," katanya.