Skip to main
Logo Malaysiakini

Impian Slam beraksi di pentas elit jadi kenyataan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Impian kumpulan Slam untuk membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di Kuala Lumpur bakal menjadi kenyataan apabila kumpulan slow rock itu diberi kepercayaan untuk beraksi pada 8 Jun ini.

Persembahan di pentas berprestij negara itu nanti kelak merupakan aksi sulung Slam - yang dianggotai Zamani selaku vokalis, Shah (gitaris), Eddie (keyboard), Lili (bass) dan Man (dram) - sepanjang tiga dekad berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Shah atau nama sebenarnya Shah Nizam Abdul Halim, 50, berkata dalam konsert itu Slam akan tampil berbeza dengan menyanyikan lagu-lagu yang jarang dibawa dalam persembahan langsung.

Antaranya Malam Dan Semalam, Bukan Niat Membalas Derita, Terasing Dalam Sepi, Suratan, Warna Kehidupan dan Buat Seorang Kekasih.

"Konsert ini khas buat peminat setia Slam yang tidak jemu menghargai dan menyokong karier seni kami sejak lebih 30 tahun lalu.

"Jadi, kami ambil peluang ini untuk memenuhi permintaan mereka," katanya dalam sidang media konsert berkenaan, semalam.

Menurut Shah, selama ini setiap karya yang ditampilkan Slam sangat menepati selera dan jiwa peminat muzik Melayu seterusnya menjadi kekuatan kepada kumpulan itu untuk bertahan sehingga kini.

"... jadi kami tidak kecil hati apabila orang nak kata kami ini band kampung atau 'leman' dan sebagainya.

"Kami bangga dengan muzik yang kami bawa sebab sampai sekarang, orang boleh terima lagu-lagu kami. Sebagai pemuzik, kami cuba buat susunan muzik yang lebih baik agar ia setanding dengan lagu baharu yang ada di pasaran sekarang," katanya.

Sementara itu, Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 53, berkata walaupun masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat masalah skoliosis, dia optimis semuanya akan berjalan lancar.

Katanya dia akan sentiasa menjaga kesihatan agar kekal cergas demi konsert yang bakal berlangsung.

"Alhamdulillah, kesihatan saya masih baik walaupun bukan 100 peratus…. saya dah buat dua persembahan berskala besar selepas menjalani pembedahan.

"Insya-Allah, saya yakin semuanya akan baik-baik sahaja.

"Buat masa ini, saya hanya berlatih menyanyi setiap hari untuk mengekalkan momentum dan menjaga stamina," katanya yang berhasrat untuk berduet dengan penyanyi Akim Ahmad suatu hari nanti.

Kredibiliti dan kemampuan Zamani untuk terus menyanyi turut dikagumi semua anggota kumpulannya dan menyifatkan bakat penyanyi itu sebagai anugerah dari Tuhan.

"Orang hanya lihat Zamani tak sihat, jadi orang pertikaikan kredibilitinya.

"Tapi jujurnya apabila kita lihat pencapaian Zamani, dia sebenarnya lebih baik daripada kebanyakan penyanyi lain sebab mampu menyanyi lebih dua jam tanpa berhenti.

"Baru-baru ini, dia buat persembahan selama tiga jam, tapi dia okay sahaja," kata Shah.

Tiket persembahan pada harga RM188, RM248, RM288, RM388, RM448 dan RM548 boleh dibeli menerusi tempahan di laman sesawang DFP di www.dfp.com.my, e-mel di [email protected] atau telefon di talian 03-23317007.

- Bernama