Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarimah bebas kanser usus

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Primadona filem Melayu, Sarimah Ahmad berkongsi berita gembira dirinya kini disahkan bebas kanser usus tahap tiga yang dideritainya sejak dua tahun lalu.

Menurut pelakon terkenal era filem hitam putih 1960-an itu, dia tidak menjalani rawatan kimoterapi disebabkan usianya yang lanjut namun memilih untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan makanan berkhasiat.

“Saya jaga pemakanan untuk pulih daripada kanser.

“Saya banyakkan pengambilan makanan sihat seperti salad, buah-buahan, madu, telur ayam (kampung) dan kekacang,” katanya.

Sarimah berkata demikian selepas program Ziarah Madani yang diketuai Setiausaha Politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ahmad Farhan Fauzi di Subang Jaya hari ini.

Pelakon Ali Baba Bujang Lapok itu memaklumkan dia disahkan menghidapi kanser berkenaan kira-kira dua tahun lalu selepas membuat pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Katanya, gejala awal yang dirasai hanyalah sakit perut yang dianggapnya seperti sakit biasa.

“Hinggalah satu hari saya pengsan di bilik mandi. Saya segera dibawa ke sebuah hospital swasta di Shah Alam.

“Doktor pada awalnya memaklumkan saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Namun, kesihatan saya selepas itu merosot dan terpaksa dirujuk ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk pemeriksaan dan hasilnya saya disahkan menghidap kanser serta perlu segera jalani pembedahan,” katanya.

Sarimah yang juga terkenal melalui filem Madu Tiga itu berkata, dia enggan menguar-uarkan penyakit yang dideritai itu kepada umum sebelum ini kerana tidak mahu meraih simpati.

Pada masa sama, katanya lagi, dugaan yang menghimpit semakin besar apabila dia berdepan kesulitan untuk menampung kos rawatan kanser yang mencecah puluhan ribu ringgit.

“Saya tidak mahu menagih simpati. Jadi, saya guna duit simpanan untuk membiayai kos rawatan yang mencecah RM60,000.

“Saya tidak mahu susahkan sesiapa mahupun berhutang dengan sesiapa. Alhamdulillah semuanya juga selesai,” katanya lagi.

Sarimah juga pernah menderita kanser hidung pada 2011 namun pulih sepenuhnya selepas melakukan pembedahan.