Skip to main
Logo Malaysiakini

Dari hobi seni jadi kerjaya lumayan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Minat mendalam terhadap lukisan dan seni mural berjaya membuka jalan kerjaya kepada seorang anak muda.

Pelukis mural dan coretan (doodles) Nas Ibrahim berkata dia mampu menjana pendapatan besar menerusi karya seninya.

“Saya boleh jana pendapatan besar sebulan dan sebahagian besar pendapatan saya adalah dari hasil komisen melalui kerjasama dengan pihak kerajaan dan syarikat-syarikat besar,” katanya semasa dihubungi Malaysiakini.

Selain rekaan seni, anak muda asal Marang, Terengganu itu juga mempunyai kepakaran dalam melukis mural.

“Saya sudah mereka hasil karya kepada lebih 200 pelanggan dan juga melukis mural di bangunan-bangunan serta kafe-kafe,” katanya.

Nas atau lebih dikenali dengan nama pentas Nas Suha berkata kebanyakan pelanggannya adalah dalam kalangan golongan usahawan yang memerlukan rekaan grafik pada produk sebagai alat pemasaran.

“Kebiasaan golongan usahawan menggunakan doodles sebagai rekaan produk mereka untuk menarik perhatian pelanggan. Badan-badan korporat juga menggunakan doodles sebagai seni mural untuk hiasan dinding mahupun menarik perhatian pelanggan,” katanya.

Pelanggan-pelanggan Nas adalah antaranya Huawei, Petronas, Sime Darby dan Jabatan Perhilitan Malaysia.

Pada awalnya, Nas hanya melukis sebagai hobi dan tidak berniat untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

“Awalnya saya lebih kepada berkarya secara suka-suka sebagai hobi dan mula serius selepas saya perasan hasil lukisan saya kongsi di media sosial mendapat perhatian sehingga ada yang berminat untuk upah saya melukis.

“Dari situ lukisan saya semakin besar daripada sarung telefon bimbit, kertas lukisan, cawan kopi dan sekarang ini di dinding-dinding besar,” katanya.

Nas juga tidak kisah akan persaingan kerana dia lebih mementingkan kepuasan dalam karya.

“Saya tidak kisah pasal persaingan sebab matlamat utama untuk rasa seronok buat seni, jadi saya lebih fokus pada perkembangan kerjaya seni sendiri,” katanya.