Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarimah mahu dapatkan kembali 4 filem pernah diterbitkan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Sebelum menghembus nafas terakhir, kata Sarimah, dia sangat berharap seorang penerbit terkenal terbuka hati untuk memulangkan semula pita asal empat buah filem dihasilkan syarikatnya puluhan tahun silam.

Untuk itu seniwati terbabit cuba mendapatkan bantuan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, agar masalah dan rasa terkilan dialaminya sejak sekian lama dapat diselesaikan.

“Saya mahu hak saya dikembalikan semula. Kalau boleh saya mohon Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bantu saya,” katanya.

Sarimah mendakwa pita asal filem tersebut - Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak - "dicuri" kira-kira 36 tahun lalu dan sejak itu individu terbabit terus menghilangkan diri.

Paling menghibakan, katanya, semua filem itu diterbitkan dengan hasil titik peluh dan wangnya. Malah tambah Sarimah, dia juga pernah jatuh muflis kerana mendapatkan pinjaman bank bagi menyiapkan karya berkenaan.

“Saya boleh kata pita-pita filem itu dicuri daripada saya. Dia berjanji tapi tak tepati. Pulangkan semula kerana itu adalah hasil titik peluh dan wang saya.

“Sejak ambil pita filem itu, tidak sekalipun dia menghubungi saya, malah saya juga tidak tahu dia di mana.

“Disebabkannya saya juga tanggung hutang dan pernah jatuh muflis,” kata pelakon Menanti Hari Esok itu lagi.

Ditanya ketika fikiran celaru

Sarimah berkata demikian selepas sesi Ziarah Madani bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, di kediamannya di Subang Jaya, semalam.

Berkongsi detik episod hitam dialaminya, dia yang turut berlakon dalam filem Ranjau Sepanjang Jalan itu berkata, detik dia kehilangan pita asal empat filem itu bermula semasa pengebumian suaminya, Yusof Majid.

Ketika itu, kata Sarimah, penerbit berkenaan bersama seorang rakan datang menghampirinya dan meminta agar satu dokumen ditandatangani.

Masalahnya, tambah seniwati terbabit, lelaki berkenaan seolah-olah mengambil kesempatan dengan memintanya menandatangani dokumen ketika sibuk menguruskan hal pengebumian Yusof.

Katanya lagi, itulah kali terakhir dia bertemu dengan penerbit berkenaan.

“Saya bukan kejar bayaran tapi kesemua filem itu adalah hak milik mutlak saya.

“Fikiran saya bercelaru kerana arwah suami saya baru meninggal dunia dan jenazahnya menunggu masa untuk dikafankan dan disolatkan.

“Ada perkara yang pihaknya tidak jelaskan kepada saya. Dia perlu kotakan janjinya untuk memulangkan balik kesemua pita itu kepada saya," katanya.