Skip to main
Logo Malaysiakini

Ali Puteh berjaya kumpul RM75,000

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Ali dipercayai akan menggunakan wang tersebut untuk menyelesaikan tuntutan saman yang dibuat balu abangnya, Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Hamzah.

Selepas menjual beberapa barangan peribadi dan produk makanan sendiri, pelawak Ali Puteh berjaya mengumpul wang sebanyak RM75,000 daripada usaha dilakukannya.

Ali Puteh berkongsi perkara itu kepada pengikutnya melalui platform TikTok.

“Siap! Terima kasih atas doa, terima kasih semua rakyat Malaysia. Semoga Allah membalas segala kebaikan anda.

“Terima kasih yang membeli barangan saya. Sudah cukup RM75,000,” katanya.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dipercayai akan menggunakan wang tersebut untuk menyelesaikan tuntutan saman yang dibuat balu abangnya, Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Hamzah.

Sebelum ini, bapa kepada seorang anak itu menjual kereta Honda Accord miliknya bagi mengumpul wang bagi membayar hutang berkenaan.

Selain itu, dia turut menjual barangan kesayangan lain, termasuk sebuah motosikal RXZ.

Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Siti Norhidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian itu mendapat reaksi positif pengguna alam maya yang rata-ratanya mendoakan agar hutang itu segera diselesaikan.

“Alhamdulillah, dulu aku pernah komen suruh kau bayar saman itu Ali.

“Apabila sudah selesai, aku doakan hang bangkit kembali,” kata seorang netizen.