Skip to main
Logo Malaysiakini

Selesai hutang RM75,000, Ali Puteh harap silaturahim keluarga takkan putus

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Selepas hampir empat tahun tidak bertemu, pelawak Ali Puteh meluahkan perasaan bersyukur apabila akhirnya dia dapat memeluk dan mencium anak saudaranya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

Melalui perkongsian dimuat naik di TikTok, Ali kelihatan sebak apabila dapat membawa anak-anaknya berjumpa Hamzah.

“Syukur Ya Allah dengan ujian ini, mak, abang, angah dah selesai semuanya.

"Berjumpa mereka kerana saudara kandung, Insya-Allah, Syed, Syarifah legacy tidak akan terputus,” katanya.

Gambar fail, ALi Puteh dan Abam Bocey.

Tambah Ali, 34, hubungan kekeluargaan itu tidak sepatutnya terputus biar apa pun kemelut berlaku antara dia dengan ibu Hamzah, Siti Nor Hidayah Mohd Ali yang juga isteri kepada Allahyarham abangnya, Abam Bocey.

“Setiap yang pahit pasti ada manisnya, Janji Allah itu pasti. Setiap ujian ada hikmahnya. Terus membesar anak-anakku semua.

“Hubungan saudara kita tidak akan terputus dan pasti kita pertahankan,” katanya.

Pertemuan itu berlaku selepas Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan hadir ke kediaman Nor Hidayah (gambar bawah) bagi menyelesaikan tuntutan hutang sebanyak RM75,000 kepada kakak iparnya itu.

Ali dilihat membawa rombongan keluarganya untuk bertemu Nor Hidayah bagi menyelesaikan persengketaan antara mereka.

“Yang berhutang saya, saya datang sendiri untuk bayar,” katanya.

Bagaimanapun, seorang wakil keluarga yang turut hadir pada pertemuan itu meminta wang berkenaan didepositkan ke dalam akaun atau diserahkan kepada peguam.

Ali juga dimaklumkan jumlah hutangnya terhadap Nor Hidayah berjumlah RM75,486.48 termasuk faedah.

Sebelum ini, Ali, 34, terpaksa menjual barangan peribadi seperti trofi, Honda Accord dan sebuah motosikal RXZ bagi mengumpul wang untuk membayar hutangnya.

Jumlah tersebut juga termasuk ganti rugi yang ditetapkan mahkamah selepas Ali kalah tuntutan saman fitnah yang difailkan oleh Nor Hidayah pada Mei 2020.

Pada sesi pertemuan sama, Ali turut tampil dengan surat akuan penerimaan yang menyatakan dia sudah menyerahkan wang tersebut kepada Nor Hidayah.

Pelawak itu juga berharap selepas penyelesaian terbabit tiada lagi timbul konflik antara mereka berkaitan hutang selepas ini.

“Saya harap dengan selesainya urusan ini tiada lagi dakwa-dakwi tentang urusan hutang ini," katanya.