Skip to main
Logo Malaysiakini

Hidayah ‘tolak’ bayaran RM75,000 dari Ali Puteh

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor Hidayah Mohd Ali enggan menerima pembayaran wang saman fitnah secara tunai yang diserahkan pelawak Ali Puteh atas faktor keselamatan.

Perkara tersebut dijelaskan peguamnya, Mohamed Ibrahim Mohamad melalui video pendek di akaun Instagram Nor Hidayah hari ini.

Ibrahim menjelaskan, dia dihubungi anak guamnya sebaik Ali atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan datang ke rumah pada jam 6.30 petang semalam dan membawa wang tunai berjumlah RM75,000.

“Nor Hidayah hubungi saya untuk bertanya sama ada dia boleh mengambil RM75,000 tersebut.

“Dari segi undang-undang tidak ada masalah untuk Ali membayar wang secara tunai tapi saya mengambil kira pada waktu itu apabila sejumlah wang sebegitu besar dibawa ke rumah Nor Hidayah dan urusan pula dibuat secara siaran langsung.

“Jadi semua orang akan tahu bahawa pada malam tersebut akan ada sejumlah wang yang besar yang akan disimpan di rumah Nor Hidayah dan wang tersebut tidak boleh dimasukkan hingga keesokan hari di dalam bank,” katanya.

Semalam, Ali Puteh berkunjung ke rumah Nor Hidayah bagi melunaskan bayaran berjumlah RM75,486.48 kepada kakak iparnya itu seperti yang diperintahkan mahkamah.

Ali seterusnya membacakan surat yang juga ditandatangani bersama kakak iparnya.

Sebelum ini, Ali terpaksa menjual tujuh buah trofi yang pernah dimenanginya, sebuah motosikal RXZ dan kereta Honda Accord untuk mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang tersebut.

Pada Mei 2020, Norhidayah, memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan pelawak itu yang mengaibkannya.

Kes itu berpihak pada Nor Hidayah dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 Februari 2022 memerintahkan Ali Puteh serta tiga ahli keluarganya untuk membayar RM60,000 kepada ibu anak satu itu.

Allahyarham Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari 2020 selepas dua hari mengalami demam.

Justeru, atas faktor keselamatan, Ibrahim kemudian mencadangkan agar wang berkenaan dihantar ke firma guaman atau dimasukkan ke dalam akaun bank.

“Ini semua atas faktor keselamatan. Saya percaya Nor Hidayah tidak ada niat apa pun untuk menolak kecuali mengambil kira faktor keselamatan,” tambahnya lagi.