Skip to main
Logo Malaysiakini

Hun Haqeem terkejut David Teo dedah isu kontrak pada umum

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pelakon Hun Haqeem mengakui terkejut dengan tindakan pemilik syarikat Metrowealth International Group (MIG), David Teo yang mendedahkan kes saman lebih RM600,000 akibat pelanggaran kontrak yang masih dalam perbicaraan kepada umum.

Kata Hun Haqeem, dia sebelum ini lebih selesa mendiamkan diri tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan bekas pihak pengurusannya itu kerana enggan memburukkan imej dengan sebarang isu.

“Saya terkejut sebab kes ini dah berjalan sejak saya keluar MIG tahun 2020. Kenapa tiba-tiba ia boleh muncul ketika ini?

“Sewaktu pusingan pertama keputusan berpihak kepada saya, tapi saya tidak ada buat apa-apa kenyataan sebab mahu jaga nama dalam industri.

“Kes juga masih dalam perbicaraan, jadi kalau boleh tak perlu ada sebarang prejudis,” katanya.

Namun, Hun Haqeem, 26, mengakui dia terbuka untuk berdamai malah komited mahu menyelesaikan perkara itu secara profesional.

Menurut pelakon dikenali melalui drama bersiri hits Kampung People itu, dia tidak akan melarikan diri sekiranya perlu berdepan sebarang tindakan undang-undang.

“Saya sebenarnya OK saja dengan dia, tiada langsung simpan perasaan dendam.

“Kalau David ada depan mata, saya hulur tangan dan salam. Kalau boleh nak buat baik dengan semua orang sebab dunia ini kecil.

“Jadi, saya akan cuba selesaikan benda ini dengan baik, apa saja perintah mahkamah akan diturutkan. Saya tidak pernah mengelak atau apa,” katanya.

Hun Haqeem berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Ramadan Astro 2024 di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Pelakon itu dilantik sebagai Duta Kempen Ramadhan dan Raya Astro 2024.

Selain Hun Haqeem, duta-duta yang turut dilantik untuk menyampaikan mesej positif kepada masyarakat, terdiri daripada barisan pelakon seperti Jalaluddin Hassan, Mierul Aiman, Qasrina Karim dan Erysha Emyra.

Pada 21 Feb lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai David mendedahkan dia menyaman pelakon terbabit kerana isu pelanggaran kontrak yang difailkan tiga tahun lalu.

Katanya, Hun Haqeem diperintahkan membayar ganti rugi RM613,950 kepada MIG selepas menarik diri daripada terus bernaung di bawah syarikat itu.

Selain itu, Hun Haqeem juga diarah membayar semula tunggakan gaji berjumlah RM30,240 yang diberikan MIG kepadanya sebelum ini.

Pada masa sama, Hun Haqeem memberitahu, dia enggan memanjangkan isu terbabit bagi memastikan kesihatan mentalnya terus terpelihara.

Katanya, kesihatannya pernah terganggu sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.

“Ketika PKP, kita tak boleh buat apa-apa tapi pada masa sama, dapat saman.

“Sedikit sebanyak rasa terkilan sebab saya cuma nak harumkan nama industri.

“Tapi, hujung-hujung, kita menikam sesama sendiri sedangkan boleh bantu naikkan nama satu sama lain,” katanya.