Skip to main
Logo Malaysiakini

Neelofa ramal Hasrat juara AJL38

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Seperti tahun-tahun sebelumnya, selebriti terkenal, Neelofa membuat ramalan sempena acara kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-38 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini.

Bagi acara kali ini, Neelofa berkata ramalannya untuk lagu yang berpotensi merebut gelaran juara adalah sedikit “bias” memandangkan ia dipilih kerana dia gemar menonton filem yang menjadikan karya itu sebagai runut bunyi.

“Ramalan saya AJL38 yang berpotensi akan menang adalah Hasrat (oleh Amir Jahari). Sedikit bias sebab saya menonton dan suka filem itu (Imaginur),” katanya di X hari ini.

Untuk rekod, Imaginur dibintangi pelakon popular Beto Kusyairy dan Diana Danielle.

Selain itu, Neelofa, 35, turut meramalkan Astana nyanyian Ernie Zakri mempunyai potensi besar untuk memenangi pertandingan berkenaan.

Setiap tahun ramalan Neelofa sentiasa ditunggu-tunggu peminat kerana ia dikatakan sering tepat.

Bagaimanapun, sebelum ini, isteri kepada Haris Ismail itu secara berseloroh menyatakan dia enggan berbuat demikian lagi kerana sudah bersara.

Namun, atas permintaan ramai, Neelofa kembali berkongsi ramalannya sebagai tanda sokongan pada acara tersebut.

Hasrat adalah lagu ciptaan Amir Jahari sepenuhnya manakala Astana pula dihasilkan bersama Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri dan Syamel.

AJL38 kali ini menyaksikan senarai finalis didominasi oleh komposer dan penyanyi muda.

Sebelum ini, 30 buah lagu yang layak ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 38 telah membuat persembahan bagi merebut 12 tempat di AJL38.

Berikut adalah senarai lagu yang layak Ke AJL38:

  • Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)

  • Sutera (Aisha Retno)

  • Santai (Naqiu [Faizal Tahir])

  • Inilah Jalannya (Masdo)

  • Astana (Ernie Zakri)

  • Darah (Marsha Milan)

  • Kalam (Shiha Zikir)

  • Hasrat (Amir Jahari)

  • Kucuma (Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah)

  • Bintang (Hael Husaini)

  • Waktu (Ziana Zain & Hasif Upin)

  • Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali)