Skip to main
Logo Malaysiakini

Hasrat adalah suara untuk rakyat Palestin, kata Amir

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pemenang utama Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38, Amir Jahari, mendedikasikan lagu Hasrat sebagai tanda solidariti daripadanya buat penduduk Palestin yang terus-terusan dizalimi Zionis.

Katanya, meskipun hidup dalam negara yang aman damai sekarang, penting untuk dia terus bersuara sebagai tanda kebersamaan dengan Palestin.

“Alhamdulillah, Malaysia masih aman dan damai tapi Palestin masih berperang dan setiap kali baca Twitter (kini X) pasti saya dapat merasakan ketakutan dan derita yang mereka alami.

“Jadi, Hasrat adalah suara untuk mereka (Palestin) yang majoriti dunia tidak mahu dengar.

“Isu ini penting untuk saya suarakan agar kita terus bersolidariti bersama Palestin dan bersyukur negara ini kekal aman,” katanya.

Berkongsi perasaannya terhadap kejayaan Hasrat dalam AJL ke-38 malam tadi, Amir menjelaskan, ia adalah suatu perasaan yang sangat asing apabila buat pertama kali karyanya dinobatkan sebagai juara.

Kata Amir, 31, sebelum ini kejayaan tertinggi pernah diraihnya melalui bidang seni lagu ialah menjadi naib juara.

“Saya terkejut kerana memang tak sangka boleh jadi juara. Jadi apabila menang, ia adalah satu perasaan yang sangat pelik.

“Banyak kali saya masuk pertandingan tapi tak pernah menang. Saya hanya pernah dapat nombor dua sewaktu menyertai pertandingan bersama AG Coco,” katanya selepas acara itu melabuhkan tirai malam tadi

Bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebanyak 12 lagu dipertandingkan bagi merebut gelaran juara pada acara kemuncak AJL ke-38 yang penuh gemilang itu.

Hasrat adalah ciptaan sepenuhnya Amir - atau nama penuhnya Mohamad Amirullah Jahari. Kemenangan melalui runut bunyi filem Imaginur itu sekali gus melayakkan Amir membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Lagu Sutera nyanyian Aisha Retno pula dipilih sebagai naib juara manakala tangga ketiga milik Jangan Mati Rasa Itu, dendangan Aina Abdul.

Terdahulu, beberapa selebriti membuat ramalan mengenai Hasrat yang dilihat berpotensi untuk muncul juara sebelum acara kemuncak itu bermula.

Bagaimanapun, Amir berkata, dia tidak membaca sebarang ramalan kerana enggan meletakkan sebarang harapan namun mengakui maklumat itu sampai kepadanya melalui orang lain.

“Bagaimanapun, saya tak mahu percaya tapi biarlah muzik saya yang 'bercakap' sendiri,” katanya.