Skip to main
Logo Malaysiakini

Anna Jobling sebar luas pesanan kasihkan haiwan

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Sebagai pencinta haiwan, pelakon Anna Jobling mengakui dia amat terkesan setiap kali membaca laporan mengenai kekejaman ke atas haiwan itu sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Justeru, aktres berdarah kacukan itu mengambil inisiatif untuk menyebarkan hantaran atau pesanan khidmat masyarakat kepada pengikut media sosialnya bagi memupuk persaan berkasih sayang serta berempati pada binatang.

“Saya kesal apabila isu penderaan haiwan tidak dipandang serius.

“Kes tidak sama seperti penderaan terhadap kanak-kanak, tapi bagi saya, haiwan juga ada perasaan.

“Saya mudah rasa kasihan kalau terlihat video memaparkan penganiayaan haiwan. Walaupun tak dapat bantu, saya tetap percaya Allah akan balas setiap perbuatan sama ada baik atau tak baik,” katanya.

Bukan setakat itu, Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, dia sentiasa membawa makanan kucing serta meluangkan masa untuk memberi makan haiwan terbabit bersama ibunya.

Sambutan di luar negara

Kata pelakon Syurga Itu Bukan Mudah, dia berbuat demikian kerana mudah berasa kasihan melihat nasib kucing jalanan.

“Saya bukan hanya beri kucing, tapi juga anjing makan. Kalau bukan saya, siapa lagi yang akan buat?

“Jadi saya akan bawa makan kucing ke mana-mana saja. Sentiasa ada dalam beg atau kereta,” katanya.

Anna, 23, berkata demikia ketika ditemui pada majlis DD Cat and Anna Jobling #Rayasedondon di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Berkongsi penglibatannya, Anna berkata, dia teruja dan berbesar hati apabila terlibat secara langsung dalam memilih rekaan, warna dan fabrik untuk koleksi baju raya kucing 2024.

Menurut Anna yang namanya melonjak melalui drama bersiri Melur Untuk Firdaus itu, koleksi berkenaan menampilkan lapan pilihan warna segar dan menarik.

“Apa yang menarik, pencinta kucing boleh memilih sama ada baju Melayu, baju kurung atau kebaya untuk kucing kesayangan mereka,” katanya.

Mengulas kelebihan yang ada pada koleksi tahun ini, Anna berkata, semua rekaan menampilkan songket berkualiti tinggi dan como crepe polos dengan perincian renda French lace yang elegan.

Lebih manis, kata Anna, koleksi itu mendapat sambutan di luar negara dan menjadi pilihan anak Sultan Brunei, Pengiran Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Tahun lalu, sebanyak 15,000 helai koleksi baju raya kucing DD Cat terdiri daripada baju Melayu, kurta, kurung dan kebaya terjual bukan bukan saja di Malaysia tapi Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.