Skip to main
Logo Malaysiakini

Sebelum hidup mewah, Che Ta pernah susah

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Sebelum mengecapi kehidupan mewah seperti hari ini, pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta mengakui dia pernah mengalami kesulitan sehari-hari dan duduk di rumah pangsa.

Menurutnya, kehidupannya yang lahir dalam keluarga bukan berada bertambah perit selepas bapanya meninggal dunia.

Dalam keadaan baru berusia 15 tahun, kata Che Ta, dia dibesarkan oleh emaknya, seorang suri rumah dan tidak pernah bekerja seumur hidup.

“Emak terpaksa buat bermacam-macam kerja termasuk bekerja di kantin sekolah dan pada asa tu arwah toklah yang menjaga kami adik beradik.

“Dari situ saya sudah tengok kesusahan emak bekerja keras untuk membesarkan kami tapi emak tidak pernah minta bantuan orang lain pun,” katanya.

Namun, Che Ta berkata, kehidupannya sekeluarga mula berubah apabila dia bekerja sebagai pramugari kira-kira dua tahun kemudian dengan gaji mencecah RM5,000 sebulan.

Menurutnya ketika bekerja sebagai pramugari pada usianya 20 tahun, dia bertemu jodoh dengan juruterbang, namun perkahwinan itu tidak berpanjangan apabila mereka bercerai.

“Kami bercerai ketika usia saya 30 tahun. Selepas bercerai, saya tiada pekerjaan serta turun naik mahkamah.

“Mujur saya ada duit simpanan dan apabila sudah menang kes baru saya dapat duit untuk bayar peguam,” katanya.

Che Ta berkata demikian pada sesi bual bicara Kemandirian Wanita bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Ketua Penjenamaan dan Editorial Perkeso, Tengku Khalidah Tengku Bidin, bertindak sebagai moderator dalam program yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, majlis pelancaran kempen Fiesta Perkeso Membawa Senyuman disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Abdul Rahman Mohamad. Hadir sama Pengerusi Lembaga Perkeso, Subahan Kamal.

Elok jana pendapatan sendiri

Enggan menoleh ke belakang lagi, Che Ta berkata, dia kembali dalam bidang peragaan dan menceburi dunia lakonan selepas bercerai untuk menyara dirinya dan anak-anak.

Tegasnya, kaum wanita juga tidak boleh hidup terlalu bergantung kepada lelaki.

“Saya sendiri, apabila bercerai tak dapat harta apa pun. Selama 10 tahun saya hidup menjanda hinggalah saya berkahwin dengan Zain (Saidin),” katanya.

Tambah Che Ta, dia percaya lelaki akan lebih menghormati seseorang wanita jika mereka ada pendapatan sendiri.

Bagi pelakon itu walaupun dia mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan pada usia yang agak lewat, tidak terlambat untuknya memulakan sesuatu asalkan ada kemahuan.

“Tapi, sampai bila saya nak berlakon? Sebab itu saya buat pelbagai bisnes.

“Kalau anda suri rumah pun masih boleh buat bisnes dan menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Fiesta Perkeso Membawa Senyuman itu turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 10 artis yang turut menjadi pempamer selama tiga hari sepanjang program itu berlangsung.

Mereka ialah Tyzo Xander, Izue Islam, Ako Mustapha, Anne Abdullah, Darling Ngasri, Syanie, Ani Maiyuni, Haleeda, Ayu Damit dan Azza Elite.

Tyzo berkata, dia berharap Perkeso dapat menganjurkan lebih banyak program yang melibatkan golongan karyawan seni bagi membolehkan golongan terbabit mendapat lebih banyak maklumat mengenai perlindungan keselamatan.

“Artis ramai yang bekerja sendiri. Maklumat sebegini akan kami kongsikan pula dengan peminat di luar sana,” katanya.