Skip to main
Logo Malaysiakini

Hasrat tak kesampaian, pemergian tiga sahabat beri kesan

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Sedih dan terkilan - itu perasaan Nizam Laksamana sebagai penganjur Showcase Amal Artis Legenda 4.0 apabila hasratnya untuk menyatukan Ibnor Reza, Gmie Screen dan Tiar Jinbara pada 1 Jun depan tidak kesampaian.

Impuan tersebut terhalang apabila ketiga-tiga sahabat baiknya itu terlebih dulu dijemput Ilahi.

Kata Nizam, dia terkesan dengan kehilangan ketiga-tiga penyanyi terbabit kerana sebelum ini merekalahh menjadi pendukung kuatnya untuk meneruskan showcase tersebut.

“Mereka semua adalah rakan baik saya. Kami sering bergelak ketawa dan berkongsi banyak kenangan bersama.

“Macam mana saya tak terkesan dengan ketiadaan mereka? Arwah Ibnor misalnya, saya berada dengan dia pada saat-saat akhir.

Tiar pula, saya berpeluang memandikan jenazahnya, manakala Gmie, saya sempat bertemu sebelum arwah meninggal dunia.

“Jadi, saya rasa kehilangan yang cukup besar apabila mereka tidak bersama saya dalam showcase ini,” katanya.

Sudah usaha sedaya upaya

Tambah Nizam, 58, atas semangat dan keikhlasan rakan lain dalam industri juga mendorong dia meneruskan showcase tersebut hingga edisi keempat.

“Ada yang tidak kisah soal bayaran asalkan mereka dapat bantu jayakan showcase ini.

“Susah nak dapat kawan-kawan begini yang ikhlas dan mempunyai semangat setiakawan yang tinggi,” katanya.

Nizam berkata demikian pada majlis sidang media Showcase Amal Artis Legenda 4.0 di sebuah hotel di Ampang, Selangor semalam.

Konsert itu bakal menampilkan barisan penyanyi popular bertaraf legenda tanah iaitu Zamani Slam, Zarul Umbrella, Acong Sweetchild, Tam Spider, Shafie Rio, Ameng Spring, Dwen, Ady Wow, Mawi dan Wann.

Nizam sebak semasa memberikan sidang media semalam

Nizam juga berkata dia berlapang dada kerana penganjuran showcase itu adalah yang terakhir disebabkan kesukaran mendapatkan dana atau tajaan untuk diteruskan.

Dakwanya, kemungkinan wujud sikap pilih kasih dalam pemberian dana kepada golongan selebriti tertentu disebabkan mereka lebih popular.

“Saya dah usaha bertanya mengenai peruntukan disediakan untuk penggiat industri seperti saya malangnya gagal untuk dapatkan bantuan.

“Ini dah kali keempat saya anjurkan, mungkin saya perlu ada gelaran Datuk baru senang,” katanya.

Selain itu, keputusan juga diambil berikutan komitmen terhadap keluarga yang perlu diutamakan.

“Umur sudah 58 tahun. Hidup pun mungkin tidak lama. Isteri saya pula masih dalam rawatan untuk pulih daripada kanser selain anak saya yang masih bersekolah.

“Saya mahu melakukan sesuatu yang lain untuk diri pada diri sendiri dan keluarga.

“Cuma saya harap akan ada pihak lain teruskan dengan nama yang lain. Pakailah konsep sama dan buatlah dengan bersungguh-sungguh,” katanya.