Skip to main
Logo Malaysiakini

Miji Cromok meninggal dunia

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Bekas pemain dram kumpulan thrash metal popular Cromok, Miji yang menghidap kanser hati tahap empat kembali ke rahmatullah pada jam 10.40 malam tadi di Kelantan.

Khabar dukacita itu dikongsikan oleh pemain gitar Cromok, Karl menerusi Facebook tengah malam tadi.

“Dengan penuh kesedihan dan rasa kehilangan yang mendalam, kami ingin memberitahu bahawa Tarmizi Mokhtar (Miji Cromok) telah kembali ke Rahmatullah pada 6 Mac 2024 jam 10.40 malam.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

“Kami mengundang anda semua untuk turut serta dalam doa dan memberikan sokongan kepada keluarganya di masa kesedihan ini. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada keluarga untuk menghadapi dugaan ini dengan sabar dan reda,” katanya.

Karl juga memaklumkan jenazah allahyarham dibawa di kediamannya di Kampung Jias, Pasir Mas, Kelantan.

Tambahnya, jenazah akan dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas.

“Pada yang berkesempatan kami berharap agar dapat menyertai perjalanan terakhir ini sebagai tanda penghormatan kepada arwah,” katanya.

Baru-baru ini, Karl memaklumkan Miji atau nama penuhnya Tarmizi Mokhtar sedang dirawat di hospital akibat kanser hati tahap empat.

Ketika Konsert Ulang Tahun ke-30 Cromok - Forever In Time di Zepp Kuala Lumpur Oktober lalu, band itu mengumumkan pengunduran Miji daripada Cromok akibat masalah kesihatan.

Miji turut hadir ke konsert berkenaan bagi memberi sokongan terhadap rakan seperjuangannya itu.

Miji dan Karl anggota asal Cromok yang menubuhkan kumpulan itu bersama Sam (penyanyi, bass) dan Din (gitar, penyanyi) ketika mereka menuntut di Sydney, Australia pada 1987.