Skip to main
Logo Malaysiakini

Air mata Elly tumpah terkenang detik dicabul 'ustaz'

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pengacara dan pelakon Elly Arifin tidak dapat menahan air mata dari jatuh berderai sewaktu menceritakan semula detik hitam dia dicabul oleh seorang ‘ustaz’ sewaktu mendapatkan rawatan dua tahun lalu.

Elly berkata, air matanya tumpah kerana dia gagal menahan emosi sebaik terkenangkan insiden itu yang mengakibatkan trauma berpanjangan.

“Mak suruh berjumpa ‘ustaz’ bagi pulihkan semula semangat namun saya yang pergi seorang diri ke rumahnya langsung tidak mengesyaki dia akan tergamak mengambil kesempatan.

“Saya bukannya datang berpakaian seksi atau ketat-ketat pun sebaliknya sweater oversized yang ada hoodie serta berseluar baggy.

“Saya simpan dendam sampai sekarang. Saya bukan wanita yang senang-senang nak beri lelaki bukan suami sentuh tubuh saya. Saya tidak mahu ingat sebab trauma sampai sekarang,” katanya.

Tambah Elly, 34, kegagalan berbuat apa-apa pada awalnya bagi menghalang perbuatan terkutuk individu yang dikatakan pengamal perubatan Islam terbabit juga menambah perasaan sakit di hati.

Lebih terkilan, katanya, syaitan bertopengkan manusia itu juga adalah kenalan rapat keluarganya yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak.

“Dalam keadaan separuh sedar, saya dapat rasakan tangannya masuk ke dalam baju sebelum meraba-raba dada dan bahagian alat sulit.

“Saya seolah-olah tidak bermaya untuk menolak selepas dia membaca sesuatu sebelum beri saya minum air itu,” katanya.

Elly berkata demikian selepas majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Korsakoff di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jalil semalam.

Aktres itu buat julung kali diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama dalam sebuah filem.

Korsakoff yang bakal menemui penonton di saluran Astro First bermula 14 Mac ini berkisahkan seorang wanita bernama Jelita, - watak dilakonkan Elly - mengalami kemalangan dan amnesia.

Selain Elly, filem terbitan D Alpha Legacy itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Iqram Dinzly, Azhan Rani, Erra Fazira dan Ning Baizura.

Enggan perkara lebih buruk berlaku, Elly atau nama penuhnya Nurul Elyana Kamalul Arifin itu berkata, dia menggagahkan diri untuk menolak tangan ustaz terbabit perlahan-lahan sebelum bergegas keluar.

Menurut pelakon drama Malang Si Puteri itu, sewaktu menghampiri kenderan, lelaki terbabit sekali kali lagi mengingatkan dia agar tidak mendedahkan kejadian yang berlaku kepada sesiapa.

“Apabila saya kata diri saya dah okey (tak perlu dirawat lagi), dia seolah-olah terkejut kerana tidak menjangka saya yang tadi tidak bermaya tiba-tiba boleh bangun dan meluru keluar dari rumahnya.

“Saya tak boleh terus tolak atau tunjuk terlalu beriya nak melawan kerana kita tidak tahu kudrat seorang lelaki.

“Tapi dia ada pesan beberapa kali sampai ke luar rumah supaya jangan sesekali beritahu hal yang berlaku kepada keluarga,” kata bekas pengacara program HLive itu.

Menurut Elly, atas nasihat keluarga, dia akhirnya memberanikan diri untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Katanya, dia bersyukur apabila lelaki terbabit sudah menerima ‘habuannya’.

“Lepas tiga hari baru saya nekad buat laporan. Dia mengaku bersalah serta dikenakan denda oleh mahkamah.

“Kes juga sudah ditutup sebab tak nak panjangkan lagi isu ini,” katanya.