Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuah Menara Condong buat Joy Kecik

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pencarian Bakat Muda Sezaman yang bermula sejak 1974 itu telah melahirkan ramai seniman yang telah mengharumkan nama negara.

Antaranya ialah Zulkifli Mohd Dahalan, Lee Kian Seng, Thangarajoo Kanniah, Jalaini Abu Hassan, Tan Chin Kuan, Zulkifli Yusoff, Bayu Utomo Radjikin, Nur Hanim Khairuddin, Bibi Chew, Azizan Rahman Paiman dan Suhaila Hashim, Mohd Fuad Arif dan juga Muhammad Hassanuddin Yusof.

Mulai 2021 pertandingan Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Negara menukar formatnya.

Jika dulu semua peserta diminta menghantar karya  penyertaan ke Balai Seni Negara, kini peserta diminta untuk berkarya di lokasi masing-masing saja.

Ia bertujuan untuk mengangkat lokasi unik dan menarik seluruh negara, selain mempromosi kawasan berkenaan.

Ia juga akan dapat memberi pendedahan seni yang lebih meluas kepada masyarakat setempat.

Karya-karya yang dipamerkan di luar Kuala Lumpur itu juga diharap dapat memupuk kesedaran terhadap kerja-kerja seni.

Pada 2023, sebanyak 68 penyertaan diterima dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah tersebut sebanyak 47 peserta dipilih untuk penjurian.

Hasil penilaian 15 karya kemudiannya dipilih untuk memenangi anugerah Bakat Muda Sezaman 2023.

Bakat Muda Sezaman 2023 dimenangi oleh Mohamad Zulkefli Mohd Jais yang memilih Menara Condong Teluk Intan sebagai lokasi.

Upacara penyampaian hadiah diadakan di lokasi tersebut pada 3 Mac lalu dan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Membuahkan persoalan reaksi

Ahmad Zahid dalam ucapannya menyatakan tahniah kepada para pemenang dan melahirkan kebanggaan apabila anak tempatan telah dinobatkan sebagai yang terbaik.

Zulkefli atau lebih dikenali sebagai Joy Kecik menyatakan, dia memilih Menara Condong Teluk Intan kerana ingin menggambarkan rasa kehilangan dan hubungan antara memori dan geopolitik.

Projek itu memberi tumpuan kepada pertindihan aspek, iaitu antara geografi dan sejarah Teluk Intan.

Dia juga tertarik dengan idea transformasi yang memberikannya ruang yang lebih luas untuk meneroka bekas tanda yang terhasil dari penglibatan audiens.

Joy Kecik

Joy Kecik juga berpegang pada pandangan bahawa performatif adalah satu cara untuk menyelami idea yang dicedok dari sesuatu pengalaman.

Yang menariknya, pelawat yang datang untuk melawat menara itu dikenakan tiket.

Oleh kerana karya Joy Kecik menjadikan menara tersebut sebagai lokasi, secara tidak langsung pelawat juga membayar tiket untuk melihat karyanya.

Jaafar Ismail yang menjadi salah seorang juri pertandingan tersebut, Joy Kecik berjaya ‘memiliki’ lokasi karyanya dan menjadikan lapangan tersebut sebagai 'hak peribadi'.

Dia juga dengan bebas mengolah sejarah Menara Condong Teluk Intan itu mengikut kesesuaian kreativitinya.

Karya Joy Kecik, menurut Jaafar, ibarat sebuah penaklukan naratif sejarah tempatan mengikut acuan seniman.

Ia juga membuahkan persoalan tentang reaksi moyang seniman itu sendiri mengenai pencerobohan monumen yang menjadi simbolik kepada puak elit, bisnes dan juga pentadbiran kolonial.

Menurut Jaafar lagi, kearifan menjadikan lapangan sebagai sebahagian daripada  karya adalah sesuatu yang kurang diambil berat oleh peserta untuk pertandingan kali ini.

Joy Kecik berjaya membawa pulang wang hadiah berjumlah RM30,000 selain diberi peluang untuk menyertai Biennale Gwangju di Korea Selatan pada penghujung tahun ini.

Selain hadiah utama, empat lagi hadiah pilihan juri yang membawa hadiah bernilai RM15,000 dimenangi masing-masing oleh  Mohd Firdaus Naif Omran Zailuddin, Muhamad Nizar Sulaiman, Nazrul Hamzah Nor Azman dan Koh Kai Ting serta Aw Boon Xin.

Pelawat yang datang kelokasi dan juga dalam talian juga diberi peluang untuk memilih karya yang dirasakan menarik perhatian mereka.

Karya-karya yang dipilih oleh pelawat diberikan hadiah wang tunai RM1,000 dan berikut adalah nama-nama pemenang dalam kategori tersebut: Fithra Dayana, Aufa Nabila, Dhakshini Jeganathan, Siti Nurhayu, Lim Ming Guang, Mohd Firdauf Naif, Azzuan Osman, Abdullah Ehlid Al Walid, Ahmad Soffi Manah dan juga Lai Zhi Hui.