Skip to main
Logo Malaysiakini

Shahrol Shiro tersilap hantar anak ke sekolah lain

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pelawak Shahrol Shiro bukan saja terkenal kerana lawak-lawaknya melalui terbitan program tertentu, kehidupan sehariannya juga tidak terlepas daripada perkara-perkara lucu.

Kali ini, Shahrol secara tidak sengaja mengakui dia telah tersalah menghantar anaknya ke sekolah berlainan dan perkara itu hanya disedari selepas pihak sekolah terbabit menghubunginya.

Gelagat Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi tular di media sosial selepas dia merakam dan berkongsi kesilapannya ketika mengambil semula anak keduanya, Iskandar Rizqi atau Iqi, 7 tahun.

“Atas faktor kesibukan kerja, saya minta bantuan isteri uruskan kemasukan anak ke Tahun Satu. Dalam perbincangan nak masukkan Iqi ke sekolah mana, ada dua nama sekolah yang disebut.

“Semalam saya hantar anak ke sekolah, namun lepas beberapa jam hantar Iqi, saya dapat panggilan telefon daripada pihak sekolah.

“Risau juga kalau ada apa-apa berlaku, rupanya ayah tersalah hantar anak ke sekolah lain,” katanya.

Melalui hantaran sama, Shahrol bergegas ke Sekolah Kampung Melayu Kluang untuk menjemput Iqi yang sepatutnya di hantar ke Sekolah Tunku Mahmood.

Dalam video klip berdurasi 70 saat itu, Shahrol dilihat bertemu wakil sekolah dan guru di situ. Mereka juga menyambut kehadirannya secara berseloroh.

“Tak tahu sekolah? Mabuk eh?” kata seorang wakil sekolah di situ.

Shahrol, 39, kemudian memohon maaf pada anaknya atas kesilapan yang berlaku dan salah seorang guru menyatakan kejadian seperti itu sangat jarang berlaku.

“Iqi dah siap masuk kelas belajar tapi dia pelik bila tengok padang tidak sama macam sekolah dia pergi sebelum puasa itu.

“Terus dia jumpa cikgu, beritahu dia telah tersalah sekolah. Cikgu lihat tanda nama dia dan menyedari dia tersilap sekolah serta terus menghantarnya ke pejabat sekolah,” katanya.

Pada masa sama, Shahrol mengingatkan ibu bapa lain agar tidak mengulangi kesilapan seperti itu.

“Kepada ayah-ayah di luar sana, jangan lakukan kesilapan sebegini. Maafkan ayah yer Iqi dan terima kasih cikgu-cikgu yang membantu,” katanya.

Pada akhir video berkenaan, guru-guru SK Kampung Melayu dilihat tidak melepaskan peluang untuk merakam momen lucu tersebut dengan mengambil gambar mereka sebagai kenang-kenangan.