Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan acara langsung sedia pertahan industri dari tekanan politik, agama

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Persatuan Seni, Perayaan dan Acara Langsung Antarabangsa (Alife) mengkritik pihak yang menggesa pembatalan acara muzik.

Presiden Alife Rizal Kamal berkata persatuan itu bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap layanan tidak adil dan diskriminasi untuk mempromosikan kepelbagaian budaya dan menyediakan hiburan.

Bertekad untuk melindungi industri itu daripada halangan birokrasi dan campur tangan politik, Alife berkata ia mahu memastikan Malaysia dapat bersaing dengan negara lain dalam sektor hiburan.

“Alife berdepan tentangan daripada kumpulan politik dan agama yang mendesak pembatalan konsert yang menampilkan artis yang dikaitkan dengan aktiviti 'berdosa' atau menyokong komuniti tertentu.

“Gesaan untuk pembatalan artis yang terkenal seperti Blackpink, Billie Eilish, Coldplay dan Ed Sheeran menyerlahkan isu ini.

“Alife mengecam penyasaran ini, dengan menyatakan ironi apabila kandungan yang jauh lebih kontroversi dan eksplisit boleh diakses dengan mudah melalui platform digital di luar kawalan politik,” kata Rizal.

Rizal Kamal

Dia menegaskan bahawa acara langsung adalah penting untuk reputasi antarabangsa dan ekonomi Malaysia.

“Kita berpeluang membawa pendapatan luar yang amat diperlukan ke dalam negara melalui pelancongan muzik.

“Infrastruktur, struktur kos dan nilai ringgit kita menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk konsert dan pertunjukan.

“Kita tidak boleh membenarkan kumpulan tertentu menggagalkan usaha Malaysia untuk menjadi lebih berdaya saing di rantau ini, terutamanya jika ia hanya untuk meningkatkan kedudukan individu atau politik mereka sendiri,” tambahnya.

Ditubuhkan pada 2016, the Arts, Alife ialah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang bertujuan untuk memperjuangkan dan melindungi hak pengeluar acara, penganjur, penyedia seni persembahan, penyedia perkhidmatan, tempat dan semua pihak berkepentingan.

Sebelum ini, penganalisis menganggarkan konsert Eras Tour Taylor Swift yang memecahkan rekod di Singapura dari 2 hingga 9 Mac akan menjana kira-kira RM1.7 bilion dalam pelancongan.

Susulan kejayaan jelajah ini, Indonesia yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Singapura dalam menarik konsert besar.

Di Malaysia, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli menolak dakwaan bahawa kerajaan gagal mendapatkan Eras Tour Taylor Swift walaupun telah mengadakan perbincangan pada 2022.

Katanya, konsert itu tidak pernah ditawarkan kepada Malaysia.

Sambil menggesa Malaysia untuk belajar daripada pengalaman itu, Ahli Parlimen DAP Chong Chieng Jen berkata PAS akan menentang Swift mengadakan konsert di Malaysia.